Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima wanita dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Kuala Lumpur International Logistics & Transport (KiLAT) di Putrajaya hari ini - Foto FB Kementerian Pengangkutan Malaysia.

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama EPL Exhibition Sdn Bhd telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kuala Lumpur International Logistics & Transport (KiLAT) buat julung kalinya dan merupakan anugerah pertama bagi warga industri pengangkutan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong yang merasmikan acara tersebut menyatakan tujuan utama majlis anugerah ini diadakan adalah untuk mengiktiraf syarikat yang  menyumbang kepada pertumbuhan industri  dan logistik ke arah pembangunan ekonomi negara.

Majlis anugerah itu juga bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan dan pembabitan wanita yang patut diberi perhatian khusus kerana telah memberikan sumbangan besar terhadap industri yang sama.

Ka Siong juga berharap ia dapat menggalakkan lebih ramai kaum Hawa  menyertai bidang kerjaya dalam industri pengangkutan dan logistik.

Daripada sejumlah lebih 130 pencalonan global daripada kategori iaitu Pengangkutan (Darat dan Rel), Logistik dan Pergudangan, Penerbangan, Maritim dan Wanita dalam pengangkutan dan logistik industri, seramai 43 penerima anugerah dipilih berdasarkan pencapaian cemerlang dan sumbangan mereka.

Sempena Majlis Penganugerahan KiLAT,  Ka Siong turut melancarkan Direktori MOT baharu yang telah ditambah baik.

Turut diadakan pertukaran dokumen memorandum persefahaman antara YTL, Universiti Malaya dan Keretapi Tanah Melayu Berhad yang berada di bawah Program Pembangunan Industri Keretapi yang dibantu oleh Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE).

Menurut beliau, Anugerah Kecemerlangan KiLAT dijadualkan akan diadakan pada 4 hingga 6 Oktober 2022 serentak dengan Pameran KiLAT yang terpaksa ditangguhkan akibat wabak Covid-19.

Ia akan melibatkan 30 sektor pasaran dalam industri pengangkutan dan logistik yang akan berkumpul buat pertama kali di bawah satu bumbung.

Pameran yang sama akan menjadi platform untuk pemain industri mempamerkan produk baharu, teknologi terkini, perisian, kenderaan, peralatan dan perkhidmatan dalam semua sektor rantaian bekalan untuk industri logistik dan pengangkutan tempatan dan antarabangsa. – MalaysiaGazette