Beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu membawa bekalan makanan untuk diagihkan kepada penduduk setempat selepas berlakunya hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Seri Muda Seksyen 25, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 DISEMBER 2021.

SHAH ALAM – Penduduk sekitar Seksyen 25, Taman Sri Muda di sini yang enggan berpindah selepas kediaman mereka ditenggelami banjir  terpaksa menunggu bekalan makanan diagihkan setiap hari.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati terdapat sebilangan penduduk di Pangsapuri Valencia serta rumah kedai masih mendiami premis mereka dengan berlindung di tingkat atas.

Kesemua mereka dilihat termenung di tingkap rumah selain duduk di atas bumbung sementara menunggu bot-bot Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (KBPM) serta sukarelawan melalui kawasan perumahan berkenaan.

Beberapa anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membantu membawa bekalan makanan untuk diagihkan kepada penduduk setempat selepas berlakunya hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Seri Muda, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 DISEMBER 2021.

Rata-rata mereka terpaksa menunggu bekalan makanan siap dimasak untuk diagihkan setiap hari berikutan peralatan untuk memasak terutamanya dapur dan periuk nasi  rosak ditenggelami banjir.

Seorang penduduk, Dahniyah Abdullah, 39, yang tinggal di Lorong 25/29 Jalan Harapan memilih untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kediamannya hanya dipenuhi air di tingkat satu.

Dahniyah Abdullah terpaksa mengambil barangan keperluan yang diagihkan oleh anggota ATM menggunakan sebuah beg yang diikat pada getah paip dari tingkat dua kediamannya di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 DISEMBER 2021.

“Hari ini baru air surut sedikit, kami tujuh beranak termasuk ibu mertua memang tidak tinggalkan rumah. Cuma tak boleh memasak sebab dapur semua tenggelam dan barang semua sudah rosak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, Dahniyah terpaksa mengambil barangan keperluan yang diagihkan anggota ATM menggunakan sebuah beg yang diikat pada getah paip dari tingkat dua kediamannya.

Turut serta dalam agihan bekalan makanan kepada mangsa banjir hari ini, Pegawai Staf 2 Media, Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan, Leftenan Komander Mohd Fadzhil Salleh.

Pegawai Staf 2 Media, Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan, Leftenan Komander Mohd Fadzhil Salleh mendukung seorang bayi untuk dibawa keluar dari Pangsapuri Valencia, Taman Seri Muda, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 DISEMBER 2021.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Azhari Asnawi, 42, berkata, musibah banjir yang melanda pada Sabtu lalu tidak mungkin dilupakannya sampai bila-bila.

Beliau yang sudah menetap di kediaman itu sejak 15 tahun yang lalu bersama ibunya  tidak pernah berdepan dengan situasi banjir sebelum ini.

Azhari merupakan antara penduduk yang tidak berpindah ke PPS dan memilih untuk terus tinggal di kediaman masing-masing.

Azhari Asnawi. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 DISEMBER 2021.

Tambah Azhari, berikutan tiada bekalan elektrik, dia sekeluarga terpaksa bergantung harap dengan cahaya daripada lilin.

“Kita memang tak pindah sebab tak sangka air akan naik setinggi ini tapi apa pun bekalan makanan semuanya mencukupi terima kasih kepada pihak ATM dan JBPM atas kepedulian mereka terhadap mangsa banjir,” ujarnya.

Tambah Azhari lagi, dia sekeluarga juga reda dengan ujian yang melanda ketika ini dan menganggap ia sebagai satu teguran daripada Allah SWT.

“Barang di tingkat bawah semua habis rosak termasuk kereta.

“Tapi apa pun kita reda mungkin ini teguran dari Allah, lepas ini kena sedar apa yang telah dibuat dan ke depan ini kena lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette