Polis merampas barangan yang disamun oleh seorang penganggur dengan menggunakan parang. Gambar MalaysiaGazette

KAJANG – Seorang penganggur yang sering menyamun kedai serbaneka dengan bersenjatakan parang di tahan polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kes samun di sebuah kedai di Jalan Reko Saville, di sini pada 12 Disember lalu.

Katanya, pengadu merupakan seorang lelaki suku Dusun yang bekerja sebagai pembantu di kedai serbaneka mendakwa dalam laporannya bahawa seorang lelaki berpakaian serta bertopi hitam dan memakai pelitup muka memasuki premis perniagaan itu.

“Suspek terus mengacukan parang ke arah mangsa sebelum memaksa pengadu menyerahkan wang tunai dari peti wang kaunter premis itu.

“Suspek kemudian berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal Yamaha Y15ZR biru gelap,” katanya pada sidang media, hari ini.

Tambah beliau, mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM90 hasil perniagaan kedai serbaneka tersebut.

Menurut Mohd Zaid, kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu berjaya merakam perbuatan jenayah suspek dan bertindak atas maklumat itu, pada 13 Disember lalu sepasukan polis dari Cawangan D9 BSJ Kajang berjaya menjejaki dan menahan  suspek lelaki berusia 26 tahun di hadapan sebuah kedai serbaneka di Seksyen 7 Bandar Baru Bangi.

“Hasil pemeriksaan lanjut polis merampas sejumlah barang kes termasuk sebilah parang dan sebuah motosikal yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan samun di kedai serbaneka.

“Hasil pandu arah suspek, telah membawa ke sebuah rumah di Taman Sri Melor, Kajang sebelum berjaya menemukan beberapa lagi barang rampasan kes seperti telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM206 dan beberapa pakaian milik suspek yang digunakan semasa kejadian samun,” ujar beliau.

Mohd Zahid berkata, selepas disoal siasat suspek mengaku terlibat secara bersendirian menyamun beberapa kedai serbaneka di sekitar Kajang.

Berikutan tertangkapnya suspek, jelas beliau, polis berjaya menyelesaikan lapan kes samun bersenjatakan parang di kedai serbaneka di daerah tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 25 Disember ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette