Penduduk berdiri termenung dikawasan dilanda banjir akibat hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 21 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan markas taktikal untuk menggerakkan operasi membantu bangsa banjir yang masih terperangkap di kawasan pedalaman di Hulu Langat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan itu dibuat selepas mencapai persetujuan hasil perbincangan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan juga Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz.

“Ini kerana ketika kami memantau keadaan pasca banjir di daerah Hulu Langat mendapati ramai mengeluh mereka tiada pusat penempatan sementara dan terpaksa duduk di rumah yang musnah teruk akibat banjir beserta lumpur.

“Dengan mengambil kira permasalahan itu daripada mangsa banjir di Hulu Langat, kita menubuhkan markas taktikal PDRM ini untuk melancarkan operasi bantuan banjir. Ia khusus di daerah itu sahaja memandangkan kesukaran akses bantuan banjir serta penduduk terjejas terperangkap dan tak dapat keluar dari situ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan watikah pelantikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain@Abd Rashid sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu di Dewan Gemilang KDN petang tadi.

Hamzah menjelaskan,markas taktikal ini terdiri daripada pasukan yang hebat dari segi taktikal yang boleh mengakses kawasan terjejas teruk untuk menyampaikan bantuan serta melicinkan operasi menguruskan mangsa pasca banjir yang dimulakan di daerah tersebut.

Menurutnya, markas tersebut akan berfungsi sebagai pusat operasi lapangan yang mana pegawai pemerintah akan mengkoordinasi dan menyeleras bantuan semua unit dari dalam ataupun dari luar.

Selain menyelaras, mencari serta menyelamatkan mangsa tragedi, penubuhan markas juga akan meningkat dan memperkasakan operasi membersih, membantu dan menjaga kebajikan mangsa banjir yang terjejas.

“Kalau kita lihat kawasan tersebut semuanya agak berat kalau mata memandang, sebab itu kita bersertuju tubuh markas bantu mereka.

“Mereka tak boleh keluar dan kita tak dapat masuk juga ke dalam kawasan itu maka perlukan pasukan hebat duduk di pedalaman untuk menyalur bantuan kepada mangsa banjir.

“Pegawai dan anggota yang akan ditempat di markas itu akan ditugaskan menyalur bantuan gotong royong kawasan terjejas banjir, selain menghantar bantuan makanan di Balai Batu 18 Hulu Langat dan lain-lain penugasan,” ujarnya.

Pada masa sama, Hamzah juga sudah memohon kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan untuk pembelian 50 unit lagi bot bagi digunakan dalam operasi misi mencari dan menyelamat mangsa terjejas banjir di negeri Selangor.

Katanya, penambahan aset itu penting untuk melicinkan penguatkuasa danĀ  memperhebatkan kerja menyelamatkan mangsa banjir di negeri tersebut secara lebih efektif tanpa kekangan. – MalaysiaGazette