Abdalla Hamdok. foto Reuters

KHARTOUM – Perdana Menteri Sudan, Abdalla Hamdok didakwa memaklumkan kepada sekumpulan tokoh politik dan intelektual negara bahawa beliau berhasrat untuk meletakkan jawatan dalam beberapa jam lagi, dua sumber yang rapat dengan Hamdok memberitahu Reuters.

Hamdok telah dilantik semula pada 21 November lalu berikutan rampasan kuasa sebulan sebelumnya yang menyaksikan tentera mengambil alih kuasa dan menamatkan perkongsian peralihan dengan parti politik.

Walaupun beberapa kuasa politik mengambil bahagian dalam merangka perjanjian itu namun Hamdok telah menghadapi kritikan meluas daripada parti dan masyarakat umum.

Pada hari Sabtu lalu, ratusan ribu orang berarak ke istana presiden menolak kedua-dua pemerintahan tentera dan keputusan Hamdok untuk kembali, yang katanya diambilnya untuk mengekalkan keuntungan yang diperoleh semasa peralihan dan menamatkan pertumpahan darah.

Kira-kira 47 orang maut dalam tindakan keras bantahan terhadap pemerintahan tentera, termasuk dua kematian dalam protes Sabtu lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada hari Selasa berkata, ia telah menerima laporan rogol atau rogol berkumpulan terhadap 13 wanita dan gadis.

Sumber yang rapat dengan Hamdok berkata, sebelum ini perdana menteri hanya akan kekal memegang jawatan itu sekiranya mendapat sokongan politik dan jika perjanjian itu dikuatkuasakan.

Hamdok telah menggesa tentera membebaskan tahanan politik, melindungi kebebasan bersuara dan membenarkannya melantik Kabinet baharu secara bebas.

Dalam satu kenyataan pada hujung minggu, Hamdok berkata, Sudan sedang menuju ke arah ‘jurang’ sambi; menyalahkan sikap tidak tegas politik dan kekurangan konsensus dalam perjanjian politik baharu.

Kumpulan yang bercakap dengan Hamdok pada hari Selasa memintanya untuk kekal dalam kedudukannya tetapi dia menegaskan beliau akan melepaskan jawatannya, tambah sumber itu. – Reuters