TEMERLOH – Pindah mangsa banjir yang mengidap Covid-19 dengan memakai lengkap pelindung diri (PPE) merupakan cabaran kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Penolong Penguasa Bomba Balai Temerloh, Syed Mohshen T. Ismail berkata, pihaknya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mestipun ketika musim banjir.
“Antara cabaran dilalui oleh anggota apabila ditugaskan memindahkan mangsa banjir yang positif Covid-19 melalui jalan air.
“Walaupun musim banjir dan ketika meredah air, pematuhan SOP dilakukan bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.
Jelas Syed Mohshen, dua pesakit Covid-19 itu kini selamat diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia untuk proses kuarantin.
Selain itu, katanya, kes-kes memindahkan mangsa yang terputus perhubungan kerana banyak lokasi menjadi pulau menyukarkan akses laluan memerlukan pihaknya menggunakan jentera dan bot fiber.
“Operasi menyelamat mangsa banjir dilakukan bagi memindahkan mangsa banjir yang perlu mendapatan rawatan kesihatan.
“Antara kes lain menjadi pemerhatian memindahkan bayi yang tidak sihat, mangsa banjir yang mengalami kecerderaan ketika banjir,” ujarnya.
MalaysiaGazette juga sempat menyertai operasi menyelamatkan dan memindahkan dua mangsa banjir bagi mendapatkan rawatan dialisis di pusat rawatan. – MalaysiaGazette