Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA – Program Rekalibrasi Pulang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) adalah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, keputusan itu telah dipersetujui oleh jemaah menteri dalam mesyuaratnya semalam.

“Sejak program ini dilaksanakan mulai Disember 2020, sehingga 21 Disember lalu, seramai 192,281 orang PATI telah berdaftar untuk pulang secara sukarela,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, tiga negara mencatatkan jumlah tertinggi pemulangan PATI iaitu Indonesia membabitkan seramai 99,047, Bangladesh (26,821) dan India (23,844).

“Daripada jumlah ini seramai 162,827 orang PATI telah pulang ke negara asal masing-masing,” kata Khairul Dzaimee.

Semua PATI adalah dinasihatkan supaya hadir ke kaunter program berkenaan dalam tempoh 24 jam dan tidak datang terlalu awal bagi mengelak kesesakan di lapangan terbang atau terminal jeti.-MalaysiaGazette