Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan wang palsu membeli dua ekor kucing Parsi awal bulan ini.

ALOR GAJAH – Pasangan suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan wang palsu membeli dua ekor kucing Parsi awal bulan ini.

Tertuduh, Mohammad Norkieflee Abdul Raheem, 22, dan isterinya, Nurul Farah Syafiqah Abdul Aziz, 24, dituduh selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Afizi Othman.

Kedua-duanya mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan pertama kali bagaimanapun memberi alasan ketika dibacakan buat kali kedua.

Tertuduh lelaki juga memberi alasan tidak tahu wang tunai yang dimenangi melalui hasil perjudian itu adalah palsu menjadikan ia menjurus kepada pengakuan tidak bersalah apabila fakta kes dibacakan kepada mereka.

Berikutan itu, hakim menolak pengakuan bersalah kedua-duanya yang mempunyai tiga anak berusia dua hingga lima tahun kerana dianggap membuat pengakuan bersyarat di atas pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama menggunakan sebagai tulen 53 keping wang berjumlah RM2,500 untuk membeli dua ekor kucing Parsi 11 November lalu.

Kedua-dua mereka melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh pada jam kira-kira 2.25 pagi.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Puteri Nur Nadia kemudian menawarkan jaminan RM20,00 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan jaminan RM15,000 seorang bersama seorang penjamin tempatan dan menetapkan sebutan semula kes pada 28 Januari depan. – MalaysiaGazette