Seorang individu mempersoalkan kualiti perkhidmatan Hospital Melaka sehingga yang didakwanya menjadikan pesakit seperti bola dalam proses memberi rawatan sehingga mereka terpaksa merayu.- Gambar hiasan.

MELAKA – Seorang individu mempersoalkan kualiti perkhidmatan Hospital Melaka sehingga yang didakwanya menjadikan pesakit seperti bola dalam proses memberi rawatan sehingga mereka terpaksa merayu.

Malah status dimuat naik lelaki berkenaan melalui Facebook (FB) Ayit Zek sejak Rabu lalu sehingga hari ini telah dikongsi sebanyak 95 kali selain mendapat lebih 170 komen dadn rata-ratanya bersetuju dengan dakwaan itu.

Berdasarkan kenyataan tular itu, lelaki terbabit menceritakan kisah seorang pesakit Myelofibrosis atau barah sum-sum tulang yang mengalami demam panas sehingga 40 darjah celcius untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka menaiki Grab sekitar petang Rabu lalu.

Bagaimanapun, dakwanya lagi, pesakit berkenan kemudian diarahkan kakitangan hospital untuk ke Klinik Kesihatan Peringgit kerana mendakwa pesakit hanya mengalami demam tanpa dibuat saringan suhu.

“Sampai Klinik Peringgit, pesakit ditanya alamat dan staf Klinik Peringgit terus minta pesakit ke Poliklinik Ayer Keroh kerana alamat tempat tinggalnya di Bukit Katil.

“Pesakit merayu pada doktor untuk rawatan sebab sudah tak mampu bergerak dan tiada pesakit lain di klinik tersebut. Setelah suhu diperiksa, pesakit diberi rawatan awal dan dihantar semula ke Hospital Melaka menggunakan ambulans Hospital Melaka,” tulisnya.

Dakwanya lagi, apabila sampai di Hospital Melaka kira-kira pukul 4 petang, baharulah pesakit berkenaan diberi rawatan sewajarnya sehingga pukul 10 malam.

Lelaki terbabit kemudian mempersoalkan siapakah yang menentukan tahap kritikal seseorang pesakit untuk dipastikan mereka layak atau tidak diberi rawatan di Hospital

“Adakah rawatan di klinik kesihatan perlu tengok alamat patient sebelum dirawat dan jika tinggal di tempat lain, patient harus ke klinik yang terdekat dengan kediamannya?

“Harapan saya semoga perkhidmatan dan sistem untuk dirawat di hospital kerajaan dapat ditambah baik berdasarkan situasi semasa, bukan lagi tolak kerja sana sini sebelum tahu masalah pesakit,” katanya.

Sementara itu, MalaysiaGazette sedang mendapatkan respon daripada Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh yang difahamkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan itu dalam masa terdekat.- MalaysiaGazette