Tindakan seorang penunggang motosikal menunggang melawan arus di lorong paling kanan di Kilometer 219.1 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan di sini mengundang padah apabila dia maut dirempuh kenderaan.

ALOR GAJAH – Tindakan seorang penunggang motosikal menunggang melawan arus di lorong paling kanan di Kilometer 219.1 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan di sini mengundang padah apabila dia maut dirempuh kenderaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Arshad Abu berkata, mangsa lelaki, T Ruthinthiran, 33, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian pukul 10.30 malam tadi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha secara melawan arus di lorong paling kanan dari arah Simpang Ampat menghala ke Seremban.

“Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis BMW dari arah Seremban ke Ayer Keroh telah bertembung dengan mangsa mengakibatkannya tercampak ke tengah pembahagi jalan dan maut di tempat kejadian.

“Kereta berkenaan kemudian hilang kawalan dan terbabas ke lorong paling kiri mengakibatkan sebuah lagi kereta jenis Perodua yang berada dilorong tengah arah sama tidak sempat brek dan melanggar BMW terbabit,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Tambah Arshad, terdapat saksi yang melihat kejadian dan telah dipanggil pihak polis bagi membantu siasatan.

Jelasnya, mayat mangsa yang dialihkan pihak bomba ke bahu jalan kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

“Pemandu kereta BMW yang mengalami cedera ringan serta pemandu kereta Perodua yang tidak cedera telah diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

“Semua kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan Puspakom dan kes disiasat mengikut Seksyen ek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.- MalaysiaGazette