Mohd Ridzuan menunjukkan cara pemborong mengisi semula minyak masak bersubsidi dalam botol untuk dijual di pasaran gelap.

BUTTERWORTH – Pemborong tempatan minyak masak bersubsidi negeri ini didapati mengaut keuntungan RM2.1 juta dalam tempoh kurang tiga bulan menerusi penjualan minyak itu di pasaran gelap.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDPNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tawaran harga yang tinggi terhadap barangan itu telah membuatkan pemborong berkenaan sanggup menjualnya kepada pemborong di negara jiran sehingga bekalan barangan terbabit berkurangan di pasaran tempatan.

Hasil siasatan pihaknya mendapati 20,000 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dibeli pemborong terbabit daripada beberapa pembungkus sah setiap minggu untuk dimanipulasi penjualannya.

Pemborong tempatan seleweng minyak masak bersubsidi untuk dieksport ke negara jiran serta dijual kepada warga asing di utara Semenanjung.

“Sekilo minyak masak paket dijual pada harga RM2.50 tetapi pemborong akan isi semula ia dalam bentuk botol untuk diedarkan menerusi pasaran gelap dalam dan luar negara.

“Berdasarkan risikan kita dapati minyak masak yang diisi dalam botol 5kg itu akan dijual kepada warga asing di sekitar Kedah, Perak dan negeri ini pada harga RM25 berbanding harga asal RM29.50 manakala minyak yang dieksport pada saiz 17kg pula, berharga RM150.

“Daripada sini kita dapati sekurang-kurangnya sebulan pemborong tersebut kaut untung bersih RM693,840 dan mereka dipercayai sudah beroperasi tiga bulan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian RM2.1 juta akibat ketirisan ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas menyerbu sebuah stor haram memproses minyak masak bersubsidi di Jalan Bagan Ajam di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuan berkata, minyak masak subsidi ini seharusnya diguna oleh isi rumah tempatan memandangkan kerajaan memperuntukkan subsidi yang banyak namun, malangnya ia dimanipulasi oleh pemborong.

“Mereka (pemborong) terlibat memang layak digelar pengkhianat negara dan kita akan ambil tindakan tegas termasuk menarik balik lesen pemborong dan seterusnya mendakwa mereka di mahkamah.

Mohd Ridzuan (kiri) bersama pegawai penguatkuasanya memeriksa sisa plastik minyak paket bersubsidi yang dimanipulasi penjualannya.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi kerana ia bukan sahaja akan menyebabkan ketirisan wang subsidi kerajaan bahkan menyebabkan berlakunya gangguan bekalan.

“Orang awam turut diminta memberikan kerjasama dalam usaha membanteras aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi ini dengan menyalurkan maklumat atau aduan secara terus kepada KPDNHEP,” kata Mohd Ridzuan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemborong tempatan ‘rompak’ minyak masak bersubsidi