Hairuddin Omar (tengah). Foto Facebook TFC.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) mengumumkan barisan kejurulatihan baharu yang akan menggalas tugas pasukan itu dalam saingan Liga Malaysia pada musim 2022.

Seperti dijangka, khidmat Nafuzi Zain terus dikekalkan sebagai ketua jurulatih selepas dia menyambung kontraknya dengan skuad penyu.

Malah, TFC kali ini membuat kejutan apabila membawa masuk seorang lagi pembantu jurulatih yang cukup dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tempatan iaitu Hairuddin Omar.

Hairuddin dipilih berdasarkan pengalamannya sebagai bekas pemain skuad kebangsaan dan pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Bojan Hodak dalam skuad Malaysia B-19 pada tahun 2017 hingga 2018.

“Kemasukan Hairuddin dalam barisan kejurulatihan TFC diyakini mampu membentuk pasukan lebih mantap dan memberi cabaran sengit kepada pasukan lain.

“Selain pengalaman luas sebagai pemain, beliau juga berpengalaman dalam mengurus pemain skuad bawah 19 tahun negara (B-19) bersama jurulatih senior, Bojan Hodak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab Rasid Jusoh di media sosial kelab itu.

Ketika zamannya sebagai pemain profesional, Hairuddin telah beraksi di posisi penyerang bersama enam pasukan Liga Malaysia iaitu Terengganu, Pahang, Kelantan, T-Team, Negeri Sembilan dan ATM.

Berdasarkan rekod, Hairuddin telah menjaringkan 13 gol dalam 54 penampilan di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan.

Dia juga pernah menjuarai Liga Super serta Piala FA bersama Pahang pada tahun 2004 dan 2006.

Selain itu, TFC turut mengekalkan khidmat bekas pemain, Tengku Hazman Raja Hassan sebagai pembantu jurulatih berdasarkan prestasi cemerlang pada musim ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast