Anggota bomba mengusung mayat mangsa lemas di Bukit Wang, Jitra hari ini.

JITRA – Keseronokan lima pelajar institut perguruan di daerah ini bermandi manda di kawasan air terjun Bukit Wang di sini, berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui mati lemas.

Mangsa, Muhammad Afqlin Mustaffa, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Difahamkan, kehilangan lelaki itu disedari rakannya sebelum mendapati mangsa tersangkut pada celahan batu di kawasan air terjun tersebut.

Muhammad Afqlin.

Susulan itu, kumpulan pelajar tersebut menghubungi pihak bomba untuk bantuan selepas mereka gagal memberikan bantuan pernafasan kepada mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata,  pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 12.07 tengah hari sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Pihak bomba membantu mengangkat mangsa lemas itu keluar dari kawasan air terjun berkenaan menggunakan pengusung.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kawasan rekreasi air terjun Bukit Wang masih ditutup sepenuhnya kepada pengunjung selepas kejadian kepala air bulan lalu yang menyebabkan banjir kilat di sekitar daerah ini. – MalaysiaGazette