Annuar (empat dari kanan) menyampikan sumbangan kepada mangsa banjir Kampung Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 57 struktur komunikasi di 68 kawasan yang terjejas akibat banjir di Negeri Sembilan berjaya dipulihkan semula hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kesemua struktur tersebut dipulihkan penyedia perkhidmatan di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multi Media (SKMM).

Katanya, baki yang lain akan kembali beroperasi dalam masa terdekat.

“Selain itu, dua Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di sekitar negeri ini turut terjejas perkhidmatannya akibat bencana banjir ini. Namun, sebuah PEDi telah kembali pulih.

“Pihak SKMM dan penyedia perkhidmatan senantiasa berwaspada dan menerima aduan dari awam dan mana-mana pihak sekiranya ada kes yang melibatkan penyediaan infrastruktur komunikasi yang terjejas untuk diambil tindakan segera,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Annuar berkata, beliau yakin kerjasama dan bantuan semua pihak sama ada daripada kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan sebagai sebuah Keluarga Malaysia akan mempercepatkan usaha pemulihan pasca banjir.

Terdahulu, Annuar berkata, beliau mengetuai misi bantuan pasca banjir Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ke Kampung Chennah, Jelebu, Negeri Sembilan yang merupakan antara lokasi terjejas teruk oleh banjir di negeri itu.

Katanya, sebanyak 600 Kotak Kasih KKMM serta keperluan seperti tilam, bantal, selimut dan pakaian diagihkan kepada mangsa-mangsa terjejas banjir dengan kerjasama sukarelawan KKMM, Rumah Prihatin dan Komuniti Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette