Keadaan kenderaan Hilux yang terlibat dalam nahas di jejambat berhampiran pusat beli belah Mahkota Parade, Melaka awal pagi tadi.

MELAKA – Pemandu sebuah pacuan empat roda maut selepas kenderaannya merempuh penghadang jejambat berhampiran pusat beli belah Mahkota Parade awal pagi tadi.

Nahas kira-kira jam 2.30 pagi itu mengakibatkan mangsa, lelaki berusia 30-an maut ditempat kejadian akibat tersepit dan parah di kepala.

Kejadian turut mengakibatkan 4×4 jenis Toyota Hilux itu hampir terhumban pada ketinggian tiga meter, menghempap kereta bazar Uptown di Plaza Mahkota yang diparkir di tepi jejambat terbabit.

Mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan kemalangan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II, Azlan Abdul Rahman berkata, sepasukan 12 anggota bersama-sama sebuah jentera dan Perkhidmatan Penyelamatan Rawatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan jam 2.33 pagi.

“Sebaik tiba, didapati sebuah kereta jenis Toyota Hilux telah merempuh penghadang dengan keadaan sebahagian kereta tergantung di atas jambatan.

“Ia mengakibatkkan pemandu lelaki tersepit dan kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan,” katanya.

Tambahnya, mangsa berusia 30-an bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang berada di lokasi sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette