Gambar Hiasan. Foto HAZROL ZAINAL, 27 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Beberapa individu daripada sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau lebih dikenali sebagai Ah Long kini mula mendekati mangsa-mangsa banjir.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, ini kerana umum mengetahui fasa pemulihan pasca banjir memerlukan sokongan kewangan.

“Walaupun sehingga kini tiada sebarang laporan polis yang diterima berkenaan perkara ini, pihak polis tidak menolak kemungkinan bahawa sindiket ini mula menyasarkan mangsa banjir untuk menjadi peminjam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mangsa-mangsa banjir supaya sentiasa berwaspada daripada menjadi mangsa sindiket pinjaman tidak berlesan.

“Pihak polis sentiasa komited untuk memantau dan membanteras kegiatan Ah Long melalui siasatan dan operasi yang berterusan,” tambahnya.

Kata Mohd Kamarudin, siasatan di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Kanun Keseksaan dan lain-lain akta berkaitan akan dilaksanakan sekiranya terdapat laporan berkaitan kegiatan jenayah ini.

Dalam masa yang sama katanya, orang ramai diminta untuk terus membantu pihak polis dengan memainkan peranan sebagai mata dan telinga untuk menyalurkan maklumat aktiviti jenayah komersial kepada pihak polis melalui saluran CCID Scam Response Centre. – MalaysiaGazette