Keadaan salah sebuah jalan di daerah Kajang yang dilanda banjir kilat petang tadi kini sudah boleh dilalui oleh kenderaan. Foto JBPM Selangor

KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di daerah Kajang yang dilanda banjir kilat sekitar pukul 5.30 petang tadi kini kembali surut.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, jalan yang ditenggelami banjir kilat juga sudah boleh dilalui oleh kenderaan.

Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat Bangi (BBP) telah menerima laporan berkaitan banjir kilat di daerah tersebut pada pukul 5.19 petang membabitkan Apartment Glen Court, Bandar Sungai Long.

“Setibanya di lokasi anggota mendapati berlaku limpahan air dari kolam berhampiran dengan kedalaman kira-kira 0.3 meter dan telah surut sepenuhnya selain tidak melibatkan mangsa.

“Selain itu, laporan turut diterima oleh BBP Kajang pada pukul 5.35 petang melibatkan kawasan perumahan di Taman Lembah Mewah yang dilanda banjir kilat akibat keadaan longkang yang tersumbat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu berdasarkan perkongsian orang awam di laman Facebook, selain Sungai Long dan Taman Lembah Mewah antara kawasan lain yang turut dilanda banjir kilat termasuk Sungai Jelok, Taman Zamrud serta Bukit Mewah. – MalaysiaGazette