Penduduk giat melakukan kerja-kerja membersihkan rumah mereka berikutan banjir kuat yang melanda kawasan tersebut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Murni Lanchang, Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2021.

TEMERLOH – Penduduk Taman Murni Lanchang yang dilanda banjir besar minggu lalu mengakui rasa lelah kerana perlu membersihkan rumah mereka yang terjejas teruk selepas banjir besar minggu lalu.

Rasa penat itu dapat dirasai wartawan MalaysiaGazette yang melihat para penduduk yang gigih dan bertungkus-lumus membersihkan kediaman masing-masing.

Hasnoraini Abdul Hamid giat melakukan kerja-kerja membersihkan rumah mereka berikutan banjir kuat yang melanda kawasan tersebut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Murni Lanchang, Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2021.

Seorang penduduk, Hasnoraini Abdul Hamid, 36, meluahkan, hatinya meruntun apabila melihat barang-barang rumahnya terpaksa dibuang kerana rosak akibat banjir.

“Saya terlalu penat, emosi kita juga terkesan. Bila kita lihat barang-barang yang bertahun kita kumpul sekelip mata musnah.

“Kita reda dengan rumah yang terendam dalam banjir, kita kena terimalah. Tapi pertama kali kita lihat barang kita ditenggelami banjir tipulah kalau tak menangis.

“Reda itu bukan mudah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ditanya akan persiapan beliau sekeluarga untuk bangkit semula, Hasnoraini berkata, perkara itu agak sukar buat masa ini dan memerlukan masa yang lama untuk selesa seperti sediakala.

“Kita kena usaha sahajalah sekarang untuk bangkit semula sebab kami berniaga. Kalau macam sekarang kami tidak boleh berniaga sebab rumah masih kena bersihkan tapi sekarang kita kena kuat semangat.

“Kecewa itu tidaklah sebab kawasan ini hampir 30 tahun tak banjir macam ini. Jadi saya anggap ini takdir,” katanya lagi.

Penduduk, Mohd Afdan Adnan giat melakukan kerja-kerja membersihkan rumah mereka berikutan banjir kuat yang melanda kawasan tersebut ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Murni Lanchang, Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2021.

Mohd Afdan Adnan, 35, pula berkata, beliau tidak menyangka banjir kali ini akan lebih teruk kerana hampir menenggelamkan rumahnya.

“Kalau nak kata penat memang kami penat untuk bersihkan rumah tapi dalam tahun ini sudah dua kali masa awal tahun dan sekarang.

“Air masa itu sudah naik sampai ke paras lutut dan sudah masuk rumah.

“Berbanding banjir sebelum ini tak naik sampai bumbung jadi kita boleh jangka ia masih okey, tapi yang ini arus deras dan air cepat naik, setengah jam boleh naik sehingga tiga kali,” katanya.

Jamaluddin Sarip

Bagi pesara tentera, Jamaluddin Sarip, 70, kejadian yang menimpa diri dan keluarga beliau adalah sebuah takdir yang tidak terungkap.

Biarpun tidak berada di rumahnya ketika kejadian, namun beliau amat sedih kerana kediaman yang didiami sejak 1996 ditenggalami banjir.

“Saya anggap ini sebagai takdir, masa kejadian saya tiada di rumah, saya berada di Johor.

“Rakan-rakan ada mesej beritahu keadaan banjir yang masuk ke dalam rumah. Masa balik tempoh hari, air mata mengalir tengok keadaan rumah,” katanya sebak.

Shamsudin Abdul Razak

Jiran Jamaluddin, Shamsudin Abdul Razak, 46 berkata, banjir kali ini meninggalkan lumpur yang sangat tebal.

Beliau dan keluarganya mengambil masa lima hari untuk membersihkan rumah mereka.

“Rumah penuh dengan lumpur, selut masuk rumah dan barang-barang berselerak macam tsunami. Tapi kami reda dan bersihkan rumah dengan anak-anak sahaja.

“Tengok keadaan rumah semua barang rosak. Tinggal mesin basuh saja yang dapat diselamatkan. Kain baju dan peralatan rumah semua rosak.

“Sampai ke hari ini masih lagi kami cuci rumah, hari pertama sampai hari ketiga air tak ada, itu yang sukarkan kami nak bersihkan rumah,” katanya.

Najib Razak melawat mangsa-mangsa banjir di Taman Murni Lanchang, Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2021.

Kesemua mereka diziarahi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang turun melawat kawasan itu hari ini.

Najib yang ditemui selepas lawatan itu berkata, penduduk-penduduk terlibat menerima kejadian itu sebagai satu musibah kepada mereka.

“Mereka kata sudah reda dengan apa yang telah berlaku. Mereka mengharapkan bantuan yang dapat kita berikan.

“Kena cari jalan penyelesaian dan juga memikirkan projek tebatan banjir bagi mengelak banjir sebegini terus berlaku pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast