Gambar Hiasan

KLANG- Seorang lelaki dan wanita yang merupakan pasangan kekasih diberkas polis selepas disyaki mendera seorang budak lelaki berusia tiga tahun sehingga mangsa itu meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata,  kejadian menyayat hati itu berlaku minggu lalu.

Katanya, IPD Klang Selatan telah menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bahawa mangsa telah dihantar ke hospital itu dalam keadaan tidak sedar diri sekitar jam 6.20 petang pada 24 Disember lalu.

“Mangsa difahamkan dihantar oleh ibunya sendiri ke hospital berkenaan.

“Namun, pemeriksaan mendapati kanak-kanak itu sudah meninggal dunia dan pemeriksaan lanjut pegawai perubatan telah menemui kesan lebam pada keseluruhan badan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat itu, pada 25 Disember lalu Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan membuat tangkapan dua individu iaitu ibu mangsa berusia 27 tahun serta lelaki dipercayai teman wanita berkenaan.

Hoong Fong berkata, siasatan mendapati terdapat kesan lebam pada keseluruhan badan mangsa, disyaki didera serta dipukul dengan menggunakan kayu, tali pinggang serta penyangkut baju sehingga maut.

Kedua-dua suspek itu kini telah direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama enam hari bermula Sabtu sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum  dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette