Gambar hiasan

BARU-baru ini tular satu posting di media Facebook yang melaporkan tentang kecurangan antara pasangan suami dan isteri. Berdasarkan posting berkenaan, dapat digambarkan betapa derita dan terlukanya pasangan yang dicurangi tersebut. Tujuan posting tersebut ditularkan dalam ruangan Facebook adalah bagi mencari keadilan kepada dirinya yang dikhianati dalam hubungan rumah tangga.

Apa yang menarik pada tularan tersebut adalah masyarakat diminta untuk menjadi hakim kepada krisis rumah tangga yang berlaku. Langkah ini diambil untuk memastikan adanya tindakan undang-undang yang bersifat segera kepada pihak pesalah. Sebagai respons, tindakan tersebut mendapat perhatian ramai pihak di mana sebahagian
daripada mereka menyebelahi dan menunjukkan simpati kepada empunya posting tersebut.

Namun sebahagian yang lain mengambil pendirian yang berbeza. Dalam mengamati peristiwa ini, ia bukanlah satu-satunya tularan yang menjemput masyarakat untuk menghakimi sesuatu permasalahan yang pada asalnya bersifat dalaman atau dikenali sebagai private space. Oleh kerana tularan tersebut lebih bersifat terkini, maka
penulis berhasrat menjadikan ia sebagai rujukan untuk menjelaskan kewajaran tindakan yang dilakukan oleh pihak berkenaan.

Dalam mengamati isu ini, pertama sekali perlu ditegaskan bahawa tindakan mencurangi
pasangan dengan apa jua alasan adalah berdosa di sisi Allah SWT. Apatah lagi, melakukan
perbuatan penzinaan dengan mana-mana wanita atau lelaki. Perbuatan ini adalah satu
perlakuan yang dilaknat dan bakal mendapat azab di sisi Allah SWT kelak. Apapun alasan
yang dikemukakan, hakikatnya tiada ruang untuk mengkhianati antara pasangan suami dan isteri yang telah sah akad perkahwinan mereka.

Sementara itu, bagi pihak yang teraniaya akibat kecurangan pasangannya, ia bukanlah lesen untuk melakukan sebarang tindakan balas mengikut perasaan, emosi mahupun amarah. Hal ini kerana, tindakan dalam keadaan ini tidak mampu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya. Malah, mampu memburukkan lagi krisis yang sedang dihadapi. Bahasa mudahnya, menghebahkan kecurangan pasangan kepada khalayak adalah suatu tindakan yang tidak wajar. Bukanlah bermaksud, tindakan mengkhianati pasangan perlu dibela ataupun tidak perlu diambil tindakan. Namun begitu, tindakan yang perlu dikenakan kepada pesalah terbabit mestilah melalui prosedur yang sepatutnya bagi memastikan hak pesalah dan mangsa terpelihara.

Mengamati lanjut peristiwa ini, tindakan menular gambar mahupun video atau apa-apa
perbuatan yang dilakukan dalam keadaan ruang peribadi boleh dianggap sebagai membuka aib seseorang. Walaupun ‘aib tersebut adalah daripada seorang pelaku maksiat. Ini bermaksud, mereka yang tidak selayaknya tahu tentang ‘aib itu, tidak wajar didedahkan dengan maklumat kesalahan tersebut. Dalam maksud yang lain, segala bukti yang diperoleh oleh mangsa perlu dikemukakan kepada pihak yang sewajarnya sahaja. Membuka ‘aib pesalah dengan tujuan mendapatkan simpati mahupun menyegerakan hukuman adalah suatu perbuatan yang tidak sepatunya berlaku.

Walaupun tindakan tersebut seoalah mempunyai tujuan yang murni, namun tindakan mangsa adalah tidak selaras dengan syariah yang menuntut untuk memelihara ‘aib sesama manusia. Oleh kerana itu, membuka ‘aib tersebut boleh dianggap bercanggah dengan kaedah “tujuan tidak menghalalkan cara”. Kaedah fekah ini pada dasarnya menegaskan supaya sungguhpun kita mempunyai tujuan yang baik, namun
sekiranya medium tersebut tidak dibolehkan syarak, maka tindakan tersebut sama sekali tidak dibenarkan.

Contoh mudah yang boleh diambil ialah seseorang yang berhasrat membantu
keluarganya, kemudian bercadang untuk mencuri dengan harapan tindakan tersebut mampu merubah nasib keluarganya. Dari satu sudut yang lain pula, jelas bahawa mangsa telah dikhianati dalam rumah tangganya. Ini bermaksud, golongan ini telah dimudaratkan oleh pasangan mereka. Namun begitu, sesuatu kemudaratan tidak boleh dihilangkan dengan mendatangkan kemudaratan kepada pihak lain. Bahasa mudahnya, tidak boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain mahupun membalas kemudaratan dengan kemudaratan.

Demikian merupakan mafhum daripada kaedah fekah yang mashur. Oleh kerana itu, tindakan menghebahkan ‘aib pesalah walaupun untuk mendapat pembelaan adalah tidak dibenarkan dalam Islam. Bagi pihak masyarakat pula, akal bukanlah penentu salah betul tindakan seseoarang. Akan tetapi kesemuanya berbalik kepada intipati agama melalui syariatnya yang syumul. Dalam menangani isu tersebut, ada pihak yang bersetuju dengan tindakan mangsa yang membuat posting sementara yang lain menyatakan sebaliknya.

Dalam hal ini, emosi dan empati bukanlah rujukan untuk masyarakat menentukan kewajaran tindakan tersebut. Tidak dapat dinafikan jijiknya perbuatan mengkhianati pasangan dengan melakukan penzinaan, namun hal tersebut sama sekali tidak mengharuskan penghebahan ‘aib pesalah. Oleh kerana itu, perlu ditegaskan bahawa kesalahan yang dilakukan perlu dihukum melalui prosedur yang sepatutnya oleh pihak berkuasa.

Sebagai kesimpulan, perkahwinan mempunyai objektif yang jelas dalam Islam. Jika
diperhatikan kepada objektif utama perkahwinan, ia bertujuan untuk meneruskan delegasi umat manusia. Hal ini sebagaimana ditegaskan oleh Imam Ibn ‘Ashur. Di samping objektif utama tersebut, perkahwinan juga mempunyai objektif memenuhi tuntutan nafsu syahwat atau menundukkan pandangan daripada memandang yang haram. Dalam hubungan rumah tangga, maqasid al-syariah dalam perkahwinan tersebut perlu dihayati dan dijelaskan kepada pasangan suami dan isteri. Dalam menangani sebarang konflik yang berlaku pula, Islam amat menganjurkan musyawarah dan perbincangan yang baik antara kedua-duanya.

Dr. Muhammad Safwan Harun
Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast