Najib Razak mendengar keluhan salah seorang penduduk yang kediamannya terjejas akibat banjir di Taman Murni Lanchang, Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2021.

TEMERLOH – Rakyat bertalu-talu memohon kerajaan membenarkan pengeluaran i-Citra terakhir sebanyak RM10,000 dari simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana mereka sudah terdesak.

Tuntutan sekali gus itu dibuat semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi.

Namun, kerajaan hanya membenarkan pengeluaran maksimum RM5,000 atau tertakluk jumlah baki simpanan dengan bayaran bulanan sehingga lima bulan.

Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat terus menagih simpanan apabila ada dalam kalangan mereka dilanda musibah banjir, baru-baru ini.

”Saya percaya rakyat mahu (pengeluaran i-Citra) sebab itu duit mereka, apatah lagi mereka dalam keadaan amat sesak (kesempitan) sekarang dan perlu keluarkan simpanan mereka,” kata bekas perdana menteri itu.

Najib Razak bertanyakan sesuatu kepada dua wanita yang kediaman mereka dinaiki air di Taman Murni Lanchang, Temerloh, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 28 DISEMBER 2021.

Najib berkata demikian selepas mengadakan tinjauan kira-kira 30 minit di kawasan banjir sekitar Taman Murni, Lanchang, Pahang hari ini.

Secara peribadi, Najib berkata, beliau tidak nampak sebarang halangan dan alasan untuk diberikan oleh kerajaan.

Lagipun, beliau sendiri telah mengemukakan beberapa cadangan untuk memulihkan simpanan caruman KWSP.

Oleh itu, Ahli Parlimen Pekan itu merayu kerajaan memberi pertimbangan ke atas tuntutan rakyat bagi mengeluarkan wang caruman itu buat kali terakhir.

”Saya berharap agar kerajaan mempertimbangkan semula untuk meluluskan pengeluaran sekali gus (RM10,000).

“Apabila berlaku musibah banjir, kehidupan rakyat bertambah keperitan, sebab itulah mereka membuat tuntutan itu bertalu-talu. Harap pihak kerajaan memberi pertimbangan dalam hal ini,” kata Najib lagi.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak bercadang untuk membenarkan pengeluaran i-Citra RM10,000 buat kali kedua walaupun dapat desakan beberapa pimpinan politik selepas rakyat menghadapi bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Katanya, alasan hendak membuka perniagaan akibat banjir tidak boleh diterima kerana pelbagai kemudahan kewangan telah diberikan kerajaan. – MalaysiaGazette