Mohd Zaiham Mohd Kahar

BENTONG – Polis sedang mengesan kesemua individu yang terlibat video resepsi majlis pasangan artis popular yang tular sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaiham Mohd Kahar berkata, menerusi video itu, penganjuran majlis berkenaan didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

Menurutnya, majlis tersebut berlangsung di sebuah vila pada 15 Disember lalu lebih kurang jam 8.30 malam dihadiri tetamu.

Namun ia baru tular semalam.

“Pada 27 Disember 2021 jam lebih kurang 10.30 malam, pihak polis telah menerima laporan polis berkaitan satu video berdurasi 41 saat tular di muat naik dalam laman sesawang Facebook memaparkan majlis perkahwinan pasangan selebriti terkenal di sebuah villa di Genting Highlands, Bentong, Pahang.

“Menerusi video tersebut kita mendapati terdapat tetamu yang hadir tidak memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakkan sosial,” katanya.

Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong telah membuka kertas siasatan berikutan penularan insiden ini.

Justeru, pihak polis akan mengesan dan megenalpasti kesemua individu yang hadir dalam majlis perkhawinan tersebut.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Perkara 17 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021. – MalaysiaGazette