Mohideen Abdul Kader

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa segera mengharamkan pemberian cebisan atau sisa makanan kepada babi.

Ia susulan kes Demam Babi Afrika (ASF) di beberapa negeri sejak kebelakangan ini.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan makanan yang mengandungi daging dan produk berkaitan dipercayai berpotensi bagi menyebarkan virus ASF.

Jelas beliau, tiada vaksin boleh memerangi virus itu selain ia turut dibimbangi menjadi penyakit berjangkit kepada haiwan berkenaan sehingga boleh membawa maut.

“ASF boleh berjangkit menerusi sentuhan langsung dengan haiwan yang dijangkiti dan babi hutan dikenal pasti sebagai satu daripada beberapa kemungkinan penyebab penyebaran baru-baru ini selain boleh merebak melalui serangga seperti kutu.

“Malah, penyakit itu boleh berjangkit sama ada menerusi sentuhan haiwan secara langsung atau penyebaran makanan tercemar seperti sosej atau daging mentah.

“Satu lagi kebimbangan dengan ASF ialah virus itu boleh disebarkan menerusi manusia yang menjejak baja atau rembesan badan lain dari lokasi ke lokasi yang berfungsi sebagai vektor mekanikal virus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohideen berkata, menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia, penemuan pertama penyakit ini di Malaysia,  dilaporkan pada pertengahan Februari lalu dan dikesan pada sekurang-kurangnya 300 babi di tiga daerah iaitu Pitas, Kota Marudu dan Beluran, Sabah.

Katanya, virus itu boleh bertahan beberapa bulan dalam daging yang diproses dan beberapa tahun dalam sembelihan beku menjadikan penyebarannya menerusi produk daging menjadi kebimbangan khususnya penghantaran rentas sempadan.

“Paling membimbangkan ialah virus yang menular tidak boleh dirawat dan selalunya membawa maut dan sedang melanda populasi babi di seluruh dunia.

“Walaupun manusia tidak boleh dijangkiti penyakit itu, saintis memberi amaran bahawa fisiologi babi hampir sama dengan manusia dan mutasi virus pada masa hadapan mungkin menjadi berbahaya kepada manusia,” katanya. – MalaysiaGazette