Khairul Izuan Rosli (kanan).

KUALA LUMPUR – Penyerang UiTM FC, Khairul Izuan Rosli bersedia dengan pelan kedua, mengusahakan perniagaan kedai makan, sekiranya tidak menerima mana-mana tawaran daripada pasukan pada musim depan.

Selepas berakhir tugas bersama UiTM FC, Izuan mula fokus kepada perniagaan tersebut bersama-sama isteri apatah lagi dia masih belum mendapat sebarang tawaran untuk beraksi pada musim depan.

Bagaimanapun, bekas pemain Kelantan ini bersyukur apabila kedai makan yang telah beroperasi sejak bulan lalu mendapat sambutan memberangsangkan terutamanya daripada bekas rakan-rakan sepasukan ketika bersama pasukan Kelantan sebelum ini.

“Sebenarnya pelan untuk buka kedai makan dah ada sejak empat tahun lepas, tetapi disebabkan saya sibuk dengan karier, jadi susah sikit untuk betul-betul fokus.

“Kebetulan UiTM FC juga tidak beraksi dalam TM Piala Malaysia, dan kami semua mula bercuti lebih awal, jadi saya ambil kesempatan untuk mulakan perniagaan ini dan ini adalah masa yang sesuai untuk saya lebih serius berniaga.

“Idea itu datang daripada saya sendiri dan resepi nasi sup ini daripada ibu mentua di mana kami belajar daripada beliau bagaimana untuk mulakan perniagaan kedai makan ini.

“Macam-macam kami jual seperti nasi sup daging bakar, kambing bakar, arnab bakar, sup tulang dan Alhamdulillah ramai rakan-rakan yang datang bagi sokongan walaupun baru sebulan kami buka kedai,” katanya.

Dalam pada itu, penyerang berusia 30 tahun ini masih belum ada perancangan untuk bersara sebaliknya masih mengharapkan tawaran daripada mana-mana pasukan untuk terus bermain dalam kancah Liga Malaysia pada musim depan.

Semusim bersama UiTM FC, Izuan tidak menolak persaingan semakin sengit untuk merebut tempat bersama pemain-pemain muda lain dan akan bekerja lebih keras sekiranya diberi peluang untuk terus beraksi pada musim 2022.

“Masa saya dengan Kelantan sebelum ini, saya banyak ambil pengalaman daripada pemain-pemain senior yang ada waktu itu seperti Indra Putra Mahayuddin dan lain-lain.

“Sekarang kita boleh nampak bagaimana pemain muda lain semakin meningkat dan saya sendiri kena bekerja keras untuk merebut tempat.

“InsyaAllah kalau masih berpeluang, saya ingin buktikan yang saya mampu untuk bersaing dan akan melakukan yang terbaik untuk karier peribadi dan juga pasukan”, tambahnya,

Untuk musim ini, Izuan telah melakukan 12 penampilan dalam kesebelasan utama UiTM FC yang mana pasukan itu berada di tangga tercorot saingan Liga Super 2021. – MalaysiaGazette