Safiq Rahim.

KUALA LUMPUR – Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dan Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya masing-masing dikenakan hukuman tatatertib oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu berkata, hukuman tersebut diputuskan jawatankuasa itu dalam mesyuarat kali kelima bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, kelmarin.

Safiq didapati melanggar Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM atas tindakannya berkelakuan ganas menanduk muka pemain pasukan lawan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 26 November lalu.

Justeru, bekas kapten skuad kebangsaan itu dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan dengan aksi final Piala Malaysia 2021 antara Kuala Lumpur City FC dan JDT pada 30 November adalah yang pertama.

“Baki penggantungan dua lagi perlawanan yang dikenakan ke atas pemain ini adalah berkuat kuasa serta-merta pada perlawanan rasmi pemain ini yang pertama dan kedua di perlawanan Liga-M (Liga Super/ Liga Premier/ Piala Sumbangsih/ Piala FA/ Piala Malaysia/ Challenge Cup) yang berikutnya.

“…sama ada musim yang sama atau musim hadapan (tidak termasuk perlawanan persahabatan dan pertandingan bukan kelolaan FAM, MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) dan AFL (Liga Bola Sepak Amatur) tanpa mengira mana-mana pasukan pemain ini didaftarkan,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata Safiq juga diberi amaran keras dan berdepan hukuman yang lebih berat jika mengulangi kesalahan sama, namun hukuman dikenakan terhadapnya itu boleh dirayu.

Sementara itu, Rezal pula dikenakan hukuman penggantungan selama dua bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti pentadbiran, pengurusan kesukanan bola sepak serta aktiviti berkaitan dan didenda sebanyak RM10,000. – MalaysiaGazette