Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan dalam bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang disenaraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jelas memberi alternatif kepada cadangan lain mahupun usaha-usaha yang telah diumumkan.

Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan berkata, tiada pemberian iCitra daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah sebagai langkah mengelakkan mangsa banjir yang masih mempunyai simpanan KWSP perlu terus meminjam daripada masa depan sendiri dan terlepas peluang pendapatan dividen tahunan.

“Kerajaan dilihat sedang berusaha mengimbangi antara keperluan mendesak semasa, dan tanggungjawab sesebuah kerajaan memelihara masa depan rakyat dan negara.

“Di samping itu, bantuan yang diumumkan mampu meliputi semua mangsa banjir, termasuk mereka yang bukan pencarum KWSP atau yang telah mengeluarkan caruman melalui tiga skim sebelum ini (iLestari, iSinar, iCitra) sehingga sebanyak RM19,500 seorang,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Beliau berkata, pendirian kerajaan yang mengambil kira kekhuatiran mengenai tawaran pinjaman daripada Tekun dan Bank Simpanan Nasional (BSN) walaupun pada kadar 0 peratus faedah dan moratorium automatik, akan menambah hutang mangsa banjir.

“Sebagai tambahan, kerajaan tampil dengan bantuan-bantuan berbentuk suntikan perbelanjaan dari kerajaan, bukannya simpanan pencarum sendiri.

“Jumlah bantuan tunai dan baucar tunai kepada mangsa banjir juga mencecah RM10,000, malah amaun lebih besar daripada itu jika malangnya ada kerosakan kediaman yang serius atau kemusnahan kediaman.

“Ini menjadikan jumlah bantuan langsung daripada kerajaan kepada sesebuah isi rumah yang terkesan boleh bernilai sehingga sebanyak RM61,000,” katanya lagi.

Shahril yang juga merupakan Ketua Penerangan UMNO ini juga berkata, menariknya pengumuman perdana menteri turut memperlihatkan segala perancangan yang ditekankan semula berkenaan keutamaan tahun 2022.

“Tahun ini adalah untuk  masa merancakkan kembali ekonomi makro dan ekonomi rakyat dengan membina atas beberapa tanda-tanda positif mutakhir ini seperti peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), pengurangan pengangguran, kenaikan nilai jualan borong dan runcit, dan sebagainya.

“Semoga segala perencanaan yang mengambil kira segenap suara dan sudut dapat dilaksanakan secepatnya serta sebaiknya, bagi memberi sinar baru kepada rakyat dan negara,” katanya.

Jelasnya, tidak hanya ekonomi malah penularan varian Omicron juga diharap dapat diurus supaya merealisasikan harapan kebangkitan ekonomi dunia dan khususnya negara Malaysia pada tahun 2022.

“Tidak dinafikan, timbul keresahan akibat angka-angka penularan dan kebolehjangkitan tinggi yang disaksikan di negara lain sehingga melepasi rekod-rekod sebelum ini.

“Misalnya, Amerika Syarikat (589,000 kes harian baru), Perancis (206,000) dan United Kingdom (188,000).

“Namun, kita juga wajar mengambil maklum petanda awal dari negara lain turut menggambarkan varian ini mungkin tidak ‘seganas’ varian lain, dengan kadar kemasukan hospital dan kematian lebih rendah daripada sebelumnya,” katanya.

Semalam, menerusi Perutusan Khas sempena Tahun Baru 2022, Ismail Sabri menyatakan beberapa komitmen antaranya menyasarkan 500,000 peluang pekerjaan berjaya dicapai, 50 lokaliti dikenal pasti atasi miskin tegar, ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.8 peratus tahun hadapan serta kerajaan akan terus membangunkan francais mikro.

Beberapa tema penting akan digerakkan pada 2022 seperti pemerkasaan ekonomi digital, sasaran mencapai status ‘negara karbon neutral’ pada 2050. – MalaysiaGazette