Healthcare worker showing a syringe containing Pfizer-BioNTech Covid-19 vaccine to a student from SMK Putrajaya during the National Covid-19 Immunisation Programme (PICK) for Adolescents. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 20 SEPTEMBER 2021
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kumpulan teknikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji maklumat yang menyatakan suntikan dua dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer menunjukkan tindak balas imun rendah untuk melawan jangkiran varian Omicron.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kumpulan berkenaan seterusnya akan membentangkan syor kepada Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF) sama ada wujud keperluan untuk penerima vaksin ini dilengkapi dos keempat.

Bagaimanapun ujar beliau, terlalu awal untuk membuat kesimpulan sebelum kajian yang dilakukan kumpulan teknikal selesai.

“Kita telah menerima berita tersebut, kumpulan teknikal sedang mengkaji maklumat yang diperolehi dan mereka akan membuat syor kepada CITF seperti biasa sama ada mereka yang telah terima Sinovac, Sinovac-Pfizer mesti dilengkapi dengan satu dos lagi. Tetapi terlalu awal untuk kita buat apa-apa kesimpulan,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan berita tentang kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik Universiti Yale, Kementerian Kesihatan Republik Dominican serta beberapa institusi lain baru-baru ini.

Dilaporkan, hasil kajian kumpulan itu mendapati suntikan dua dos vaksin jenis Sinovac diikuti dos penggalak Pfizer menunjukkan tindak balas imun yang rendah bagi melawan jangkitan varian Omicron, berbanding varian lain.

Kajian itu juga mendapati, suntikan dua dos Sinovac disusuli suntikan dos penggalak Pfizer hanya menghasilkan antibodi serupa dengan dua dos vaksin jenis Messenger Asid Ribonukleik atau mRNA. – MalaysiaGazette