PUTRAJAYA – Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyerahkan sumbangan “Tabung Bencana Keluarga KPKT” kepada mangsa bencana banjir yang terdiri daripada warga kementerian, jabatan dan agensi di bawah KPKT dalam satu majlis ringkas pada petang ini.

Sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM1,000 bagi warga KPKT yang terjejas teruk dan RM500 bagi warga yang terjejas sebahagian akibat bencana banjir diberikan selain barangan keperluan asas seperti dapur memasak, periuk nasi, beras, tepung, minyak masak, air mineral dan sebagainya yang disumbangkan oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Kelab Sukan dan Kebajikan KPKT (KESKEP).

Sehingga 30 Disember 2021, keseluruhan penerima bantuan banjir warga KPKT ini berjumlah 595 orang dengan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) paling ramai terjejas iaitu seramai 313 orang di seluruh negara.

Jumlah ini dijangka bertambah berikutan kejadian banjir masih lagi berlaku dan KPKT akan terus membantu warga yang terkesan.

Reezal Merican turut menyatakan bahawa meskipun ramai mangsa bencana banjir terdiri daripada anggota JBPM dan SWCorp, namun ia tidak menjejaskan kerja-kerja pasca banjir ketika ini termasuk pembersihan awam, kutipan sampah dan pelupusan.

Beliau turut merakamkan penghargaan khususnya terhadap komitmen pasukan bomba dan penyelamat yang meletakkan kepentingan awam dan rakyat, melebihi hal keluarga sendiri, service before self, meskipun mereka juga merupakan mangsa dalam kejadian banjir yang berlaku ini.

Beliau turut menjelaskan walaupun komitmen dan tumpuan KPKT pada masa ini adalah memastikan kerja-kerja pembersihan pasca banjir, namun kebajikan Keluarga KPKT yang terjejas akibat banjir tetap diberi keutamaan.

Ia diharap dapat membantu meringankan sedikit sebanyak beban yang terpaksa ditanggung selain menunjukkan tanda sokongan moral kepada Keluarga KPKT.

Dalam majlis itu juga, Reezal Merican mengumumkan bahawa sebagai tanda komitmen untuk membantu warga KPKT yang terjejas, beliau dan Datuk Seri Dr, Ismail Abdul Mutalib, Timbalan Menteri KPKT akan menyerahkan keseluruhan gaji mereka pada bulan Januari 2022 ke dalam Tabung Bencana Keluarga KPKT.

Reezal Merican seterusnya memaklumkan bahawa sehingga kini, KPKT telah memperuntukkan sebanyak RM67.5 juta bagi tujuan kerja-kerja pasca banjir yang merangkumi RM50 juta untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi kos membaik pulih infrastruktur dan fasiliti awam; RM12.587 juta untuk kerja-kerja pembersihan sisa banjir dan RM5.0 juta daripada PR1MA bagi keperluan Bantuan Bakul Bencana KPKT.

Tambah beliau lagi, sebagai persediaan banjir gelombang kedua di Kelantan, Terengganu, Perak, Pulau Pinang dan Johor pula, KPKT telah menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM7.825 juta bagi kerja perkhidmatan kutipan, pembersihan dan pelupusan sisa banjir.

Ini menjadikan, jumlah peruntukan untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir secara kumulatifnya adalah berjumlah RM20.412 juta.

KPKT telah pun menggerakkan usaha untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan pasca banjir melalui sukarelawan MyLiveable Squad secara menyeluruh sejak 20 Disember 2021 di semua negeri yang terlibat dan usaha digiatkan di sekitar kawasan Hulu Langat yang merupakan ‘kawasan angkat’ KPKT.

Kementerian terus menyeru orang ramai agar lebih peka dan berwaspada dalam memastikan keselamatan diri dan keluarga menjelang ramalan gelombang kedua banjir.

Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi talian kecemasan Nasional Disaster Command Centre (NDCC) di 03-8064 2400 sekiranya memerlukan bantuan kecemasan dan juga balai-balai bomba berdekatan. – MalaysiaGazette