Pengasas Munawwareen, Datin Hajah Aliza Abu Bakar (tiga dari kanan); Pengarah Eksekutif Munawwareen, Datuk Mohamad Azri Abdul Rahman (tengah), menyerahkan 5 unit E Bike untuk kegunaan anggota PDRM dan APM.

KUALA LUMPUR – Munawwareen Holdings Sdn. Bhd. melalui program Munawwareen Prihatin menyerahkan 30 unit lampu solar buat mangsa banjir di kawasan pedalaman Kampung Paya Lebar, Sungai Lui di Hulu Langat termasuk basikal elektronik (E Bike) untuk kegunaan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas.

Pengasas Munawwareen, Datin Aliza Abu Bakar berkata, dua peralatan berkenaan disumbangkan selepas mengenal pasti situasi di sesetengah kawasan terutamanya Kampung Paya Lebar, terputus bekalan elektrik akibat tragedi banjir kilat terburuk yang pernah berlaku dalam sejarah Malaysia pada 18 Disember lalu.

“Bukan sahaja tiada bekalan elektrik, tetapi ada sesetengah kawasan sampai hari ini walaupun sudah dua minggu tragedi itu berlaku, namun masih sukar diakses oleh kenderaan pacuan empat roda gara-gara kemusnahan teruk.

“Kesukaran pihak PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam (JPA) membuat rondaan dan menyalurkan bantuan di kawasan berkenaan, sekurang-kurangnya dapat bertugas dengan lebih efisien apabila adanya E Bike sumbangan Munawwareen,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sejumlah 23 barangan keperluan asas lain turut disumbangkan program kendalian
Munawwareen antaranya dapur, tong gas, peralatan mencuci rumah, pinggan mangkuk, tuala dan tikar.

Menurut Aliza, setelah tiga kali berulang alik ke Hulu Langat beliau mendapati keperluan seperti telekung abaya, sejadah dan lampu solar sangat diperlukan kerana ada sesetengah kawasan yang langsung tiada bekalan elektrik.

Sejumlah 23 barangan keperluan asas lain turut disumbangkan program kendalian Munawwareen termasuk dapur, tong gas, peralatan mencuci rumah, pinggan mangkuk, tuala, tikar, khemah, ‘mobile kitchen’ dan pelbagai lagi peralatan lain.

“Sebahagian sumbangan barangan ini akan diserahkan kepada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) manakala sebahagian lagi akan diuruskan PDRM. Ini berikutan kawasan terjejas teruk di pedalaman yang sukar diakses dan hanya mampu dipantau pihak PDRM dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA).

“Kami difahamkan anggota PDRM dan JPA telah berada di kawasan pedalaman yang terjejas sejak hari pertama bencana lagi dan akan terus berada di sana menguruskan segala bentuk bantuan makanan dan keperluan sumbangan kerajaan, NGO dan orang perseorangan sehingga semua mangsa selamat pulang ke rumah,” katanya.

Aliza memberitahu, kerjasama itu antara lain membolehkan pihaknya bertukar-tukar maklumat dan menganalisa barangan keperluan yang benar-benar diperlukan mangsa sekali gus mengelakkan pembaziran.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nilai sebenar jumlah bantuan program terbabit.

“Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Dengan bantuan yang disalurkan ini,diharapkan kita dapat sama-sama meringankan beban yang dialami mangsa banjir sekali gus lebih memudahkan tugas pihak pasukan keselamatan PDRM dan JPA dalam mengakses kawasan terjejas di pedalaman sehingga semua mereka yang dilanda musibah dapat kembali ke kediaman masing-masing dan menjalani kehidupan seperti sediakala,” katanya. – MalaysiaGazette

Anggota PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam dapat membuat rondaan dan
menyalurkan bantuan lebih efisien apabila adanya E Bike sumbangan Munawwareen.