Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Pengoperasian institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Kelantan akan bermula pada 9 Januari ini dan pada 10 Januari 2022 bagi Sarawak.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, pengoperasian dan kehadiran murid adalah mengikut ketetapan yang telah diumumkan melalui kenyataan media KPM semalam.

Ketetapan ini dibuat setelah mengambil kira kesediaan institusi pendidikan di Kelantan dan Sarawak untuk memulakan pengoperasian mengikut tarikh pembukaan sekolah tersebut.

Katanya, bagi institusi pendidikan di negeri Kelantan dan Sarawak yang terlibat dengan banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), KPM akan mengeluarkan maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi terlibat pada 3 Januari 2022, setelah mengambil kira kesediaan untuk beroperasi.

KPM juga menyarankan agar ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri. – MalaysiaGazette