Khairy Jamaluddin Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Perhimpunan berskala besar jemaah umrah dari pelbagai negara di Arab Saudi meningkatkan lagi risiko  jangkitan Covid-19, termasuk penularan varian Omicron.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, situasi itu menyukarkan para jemaah untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) umrah yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Tambah beliau, bilangan ketibaan jemaah umrah Malaysia yang ramai meningkatkan lagi risiko jangkitan Covid-19 dan kemasukan varian Omicron ke dalam negara.

“Jemaah umrah juga berkemungkinan telah dijangkiti semasa berada di Arab Saudi tetapi masih dalam tempoh inkubasi jangkitan menyebabkan ujian saringan sebelum bertolak balik ke Malaysia masih negatif.

:Arab Saudi juga tidak menghalang kontak rapat untuk pulang ke tanah air, hanya yang disahkan positif akan dilarang pulang,” katanya ketika sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu kata Khairy, kira-kira 800 ke 1,000 jemaah umrah yang pulang ke tanah air setiap hari menggunakan empat penerbangan khas.

Dalam masa yang sama tambah beliau, ketidakpatuhan SOP jemaah umrah menjalani kuarantin di rumah turut menyumbang kepada penularan virus itu dalam kalangan ahli keluarga.

“Kebanyakan jemaah yang pulang dari mengerjakan umrah telah memohon menjalani kuarantin di rumah atau tempat kediaman sepanjang tempoh tujuh hari kuarantin.

“Ketidakpatuhan kepada prosedur kuarantin di rumah atau tempat kediaman juga telah mendedahkan ahli keluarga serumah atau jiran tetangga dan sanak saudara yang datang menziarah, kepada jangkitan Covid-19,” tambah Menteri Kesihatan itu lagi.-MalaysiaGazette