Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warga tempatan ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol menerusi Op Mabuk di Jalan 6/2 Pandan Perdana, Ampang dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, operasi berkenaan dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah Ampang Jaya sempena Tahun Baharu 2022 bermula pukul 10 malam hingga 2 pagi.

Menurut beliau, dalam operasi yang dijalankan seramai 10 individu ditahan di lokasi untuk saringan awal dengan menggunakan alat ujian pernafasan SD2+.

“Hasil ujian pernafasan menggunakan alat SD2+ yang dijalankan, tiga individu telah ditahan untuk ujian lanjut dan dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya untuk diuji sekali lagi dengan menggunakan alat ujian pernafasan EBAII.

“Berdasarkan ujian pernafasan menggunakan alat EBAII mendapati ketiga-tiga suspek tersebut telah melebihi had yang dibenarkan iaitu sebanyak 50 miligram alkohol dalam 100 mililiter darah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, ketiga-tiga individu berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut kerana dipercayai memandu kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan.

Kata beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

“Individu yang didapati bersalah memandu kenderaan dengan kepekatan alkohol melebihi had yang telah ditetapkan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan didenda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.

“Seseorang yang disabitkan di bawah seksyen ini adalah hilang kelayakan memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dari tarikh sabitan,” jelasnya. – MalaysiaGazette