logo polis
Gambar hiasan

TAMPIN – Seorang warga emas berusia 66 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung, ketika cuba menyelamatkan haiwan ternakannya dengan meredah air di Taman Pinggiran Felda, Gemas, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Anuwal Ab Wahab, berkata dalam kejadian pukul 8 pagi itu, lelaki berkenaan pergi ke kandang ternakan lembu berhampiran rumahnya semasa paras air telah naik di kawasan tersebut.

Menurutnya, doktor kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung dan polis mengkelasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Pinggiran Felda dan Felda Sungai Kelamah Rosiyah Ab Rahman, 56, berkata, kira-kira 200 rumah di kawasan berhampiran terkesan banjir akibat limpahan air Sungai Kelamah, ekoran hujan berterusan sejak petang semalam.

“Air mula naik sehingga paras dada sejak awal pagi tadi dan penduduk kampung telah diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Sungai Kelamah, ekoran bimbang keadaan banjir bertambah teruk,” katanya.

Ketua Kampung Felda Jelai 4 Jumasri Rahim, 53, berkata 20 keluarga yang terjejas banjir akibat limpahan air Sungai Pador di kampung itu, telah dipindahkan ke PPS Sekolah Agama Rakyat Felda 4.

Di daerah Kuala Pilah, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah Mohd Faizal Abdul Manap, berkata setakat tengah hari tadi, air mula surut di kebanyakan kawasan yang dilanda banjir di daerah itu.

Katanya, jalan Kuala Pilah-Tampin mula dibuka kepada semua kenderaan selepas keadaan air kembali surut, namun laluan ke Kampung Air Taling, Johol masih ditutup kerana belum dapat dilalui susulan air masih bertakung.

Faizal berkata, pelbagai agensi keselamatan masih memantau keadaan dan pihaknya telah membuka bilik gerakan di pejabat Daerah Kuala Pilah, sebagai persediaan memberi bantuan sekiranya berlaku hujan lebat berterusan di daerah itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast