KUALA LUMPUR – Nama Abang Viva sudah tidak asing lagi selepas tular kerana kesanggupannya datang dari Melaka ke Selangor hanya untuk membantu dengan bot yang dimilikinya.

Meletakkan bot di atas kereta Vivanya dan memandu ke kawasan banjir, keprihatinannya membantu mangsa-mangsa banjir tidak pernah mengharapkan balasan, semuanya dilakukan dengan rela hati dan ikhlas.

Terbaharu, menurut abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar, ada pihak yang tampil menghadiahkan bot kepadanya.

“Allahuakbar, saya tak sangka ada hamba Allah yang datang menghadiahkan bot kepada saya untuk digunakan dalam mana-mana misi bantuan banjir.

“Bot itu lebih besar daripada sekarang dan boleh memuatkan lebih 10 orang dalam satu-satu masa,” katanya ketika menjadi tetamu program SKOP MG, hari ini.

Pemberian itu sangat bermakna buatnya kerana ia akan digunakan untuk perkara bermanfaat.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana, memang sebelum ni saya ada terima tawaran lain, tapi untuk bot ini saya rasa sangat baik.

“Saya bersyukur dalam keadaan kita semua duiji, ada pihak yanfg sudi untuk sama-sama membantu,” katanya yang kini berada di Melaka sebagai persiapan menghadapi banjir di negeri kelahirannya.

Jelasnya, tanggungjawab untuk memberi bantuan itu tidak pernah mengira tempat dan masa.

“Jika saya sihat, saya akan terus membantu mana yang boleh. Melihat mangsa-mangsa ini, hati saya jadi sayu.

“Saya akan gunakan segala kudrat saya untuk membantu mereka,” katanya.

Dalam pada itu, abang Viva sempat berkongsi bagaimana dia sakit ketika sedang membantu mangsa banjir.

“Badan dan kepala saya sakit. Tak larat sungguh ketika itu. Saya memang lemah sangat-sangat.

“Tapi bila nampak warga emas, budak kecik, saya kuatkan diri. Saya hanya mahu mereka selamat dan keluar dari rumah sahaja ketika itu.

“Saya kena tunjuk sihat depan mereka, biarlah sakit tu saya sendiri saja tahu,” ceritanya.

Sementara itu, ketika ditanya perancangan akan datang, abang Viva mengakui sedang menyusun gerak kerja agar lebih fokus.

“Ada yang nak bersama-sama dengan saya, nak jadi team saya dalam usaha selamatkan orang.

“Allahuakbar, saya betul-betul terharu.

“Cumanya, buat masa sekarang tidak ada lagi, tapi akan datang tak tahu pula.

“Lagipun, kita tak tahu masa depan macam mana kan, semua saya serah kepada ALLAH SWT,” katanya.

Baru-baru ini juga abang Viva telah menerima sijil penghargaan Adiwira Prihatin Musibah oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. – MalaysiaGazette