Covid-19 cases
Kes positif Covid-19 yang direkodkan hari ini sebanyak 3,010 kes.

KUALA LUMPUR – Status terkini kes Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari ini merekodkan sebanyak 3,291 kes sembuh dan menjadikan kumulatifnya 2,692,216 kes.

Manakala kes baharu pula mencatatkan sebanyak 2,882  menjadikan 2,764,354 kes kumulatif bagi jangkitan positif sejak hampir dua tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kes baharu itu, 333 adalah kes import yang melibatkan 313 warganegara dan 20 bukan warganegara.

Kes tempatan pula merekodkan 2,549 kes iaitu 2,478 warganegara atau 97.2 peratus dan 71 bukan warganegara atau 2.8 peratus.

Bagi kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi, sebanyak 284 kes iaitu 191 disahkan positif, 93 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

“Kes yang memerlukan bantuan pernafasan ialah sebanyak 156 kes iaitu 82 kes disahkan Covid-19, 74 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Noor Hisham, jumlah kluster sehingga tengah hari ini ialah sebanyak 6,134 kluster, jumlah kluster baharu (satu), jumlah kluster yang telah tamat (5,925 kluster) dan jumlah kluster aktif (209 kluster).

Mengenai situasi maklumat terkini mutase MSpike Protein Covid-19 di negara ini, beliau berkata, sebanyak 172 kes baharu Variant of Concern (VOC) telah dilaporkan dari 25 Disember lalu hingga hari ini dengan 170 kes baharu varian Delta (B.1.617.2) dan dua kes baharu varian Omicron (B.1.1.529).

Perincian kes positif Covid-19 varian VOC dan VOI mengikut negeri, saringan dan kluster adalah Kelantan 60 varian Delta, diikuti Perak (41), Pulau Pinang (34), Johor (13), Negeri Sembilan (enam), Pahang dan Melaka masing-masing lima, Terengganu dan Kedah masing-masing tiga dan Sarawak merekodkan dua varian Omicron.

Kata Dr. Noor Hisham, ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah 5,480 kes.

Daripada jumlah yang dikesan itu, 5,460 kes adalah VOC, manakala 20 kes VOI.

Keseluruhan sehingga kini bagi VOC terdapat sebanyak 5,149 kes varian Delta, 233 kes varian Beta, 14 kes varian Alpha dan 64 kes varian Omicron.

Bagi kes VOI pula terdapat sebanyak 13 kes varian Theta, empat kes varian Kappa dan tiga kes varian Eta. – MalaysiaGazette