Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan angka mangsa bencana banjir di Melaka terus meningkat kepada 13,216 mangsa di 186 PPS seluruh negara.

MELAKA – Hujan berterusan sejak semalam menyebabkan angka mangsa bencana banjir di Melaka terus meningkat kepada 1,122 orang di 19 kawasan terjejas.

Ia turut menyaksikan 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu lapan di daerah Alor Gajah, dua di Melaka Tengah  dan satu PPS di Jasin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, setakat jam 8 pagi tadi, 1,122 mangsa terjejas daripada 279 keluarga berbanding 944 mangsa sebelum itu.

“Daerah Alor Gajah merekodkan mangsa paling ramai iaitu 653 orang daripada 172 keluarga yang ditempatkan di lapan PPS susulan 11 kawasan yang dinaiki banjir.

“Manakala Melaka Tengah pula menyaksikan 437 mangsa dipindahkan ke dua PPS akibat lima kawasan terjejas,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Di Jasin, tambahnya tiga kampung masih banjir iaitu Kampung Parit Penghulu, Kampung Lanchang dan Kampung Tersusun Rambai Jaya menyebabkan 32 mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu.

Di Alor Gajah 11 kawasan terjejas Kampung Gadek Dalam, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Pengkalan, Kampung Panchor, Kampung Beringin, Kampung Sungai Siput, Kampung Paya Lebar, Lubok China, Kampung Jeram, Kampung Pulau, Kampung Belimbing, Kampung Pulau dan Kampung Telok Berembang.

Manakala bagi daerah Melaka Tengah melibatkan Kampung Lanjut Manis, Padang Siapong, Kampung Tanah Merah, Taman Merdeka Jaya dan Taman Thamby Chik Karim.- MalaysiaGazette