MUDA Melaka state election wasted opportunity #KerajaanGagalLagi #KerajaanGagal2.0 #KabinetGagal2.0 UMNO Ismail Sabri Yaakob new cabinet Syed Saddiq
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Memasuki tahun baharu 2022, pastinya Ahli-ahli Parlimen akan diberikan peruntukan baharu bagi kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, menurut Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kawasan beliau dijangka tidak akan mendapat peruntukan itu buat kali ketiga.

“MP (Ahli Parlimen) Kerajaan & MP Harapan (Pakatan Harapan) akan terima lagi RM3.8 hingga RM5 juta bagi tahun 2022.

“Muar, lagi sekali akan disisihkan. RM0 dari kerajaan,” katanya di Twitter beliau, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, semua Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan akan diberi nilai peruntukan yang sama di bawah Peruntukan Khas Perdana Menteri bagi tempoh empat bulan terakhir 2021.

Langkah itu, kata Mastura, adalah selaras dengan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk melaksanakan transformasi Parlimen.

Peruntukan Khas Perdana Menteri untuk kawasan Parlimen sebenarnya hanya sebagai penambah dan pelengkap kepada peruntukan yang disediakan oleh kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun.

Penyediaan Peruntukan Kawasan Parlimen kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dengan nilai yang berbeza sebelum ini adalah mengikut dasar sedia ada yang terdahulu dan ia juga bergantung kepada kemampuan dan kedudukan semasa kewangan kerajaan, katanya.

Sebelum ini, Syed Saddiq berkata peruntukan untuk kawasan Ahli Parlimen pembangkang ditarik balik kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak pula berbuat demikian. – MalaysiaGazette