Alto Linus (kanan). Foto Facebook Sabah FC.

KUALA LUMPUR – Setelah 13 tahun bersama Sabah FC sejak 2010, pemain berpengalaman, Alto Linus secara jujur melihat skuad yang sedang dibentuk Datuk Ong Kim Swee merupakan yang terbaik dan mampu mencabar sebarang kejuaraan pada musim 2022.

Jelas Alto, dia berasakan satu aura yang sangat berbeza dalam skuad Sabah kali ini apabila kehadiran ramai pemain berpengalaman serta berbakat sekali gus menjadikan mereka kini bukan lagi sekadar pasukan melengkapkan saingan.

Situasi itu meletakkan Alto mula memasang keyakinan yang dia boleh mengucup satu trofi kejuaraan sekali gus mampu menjadi kenangan bersama Sabah jika menggantung but pada satu hari nanti.

“Sejak bersama pasukan dari dahulu, saya sentiasa bercita-cita mahu meletakkan Sabah kembali garang dan digeruni seperti di era pertengahan 90-an dahulu sehingga awal tahun 2000.

“Musim 2022 mungkin menjadi detik terbaik untuk melihat Sabah seperti itu dan sejak kehadiran Datuk Ong Kim Swee selaku jurulatih, banyak perubahan positif telah berlaku sama ada di dalam atau di luar padang.

“Beliau telah mengubah mentaliti serta karakter pemain Sabah untuk lebih positif dan percaya terhadap kemampuan masing-masing, satu pembaharuan yang saya akui memberikan kesan kepada kami selain soal disiplin.

“Malah saya teruja dengan kehadiran pemain-pemain berpengalaman seperti Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat yang saya rasa bakal letakkan pasukan Sabah mampu mencabar sesiapa sahaja.

“Selain Liga Premier yang saya pernah menangi dengan Sabah pada 2019, saya harap mampu menjuarai sebarang kejuaraan utama sebelum saya bersara, ” katanya yang bakal menginjak usia 36 pada tahun ini.

Sejak bersama Sabah, Alto tidak pernah menyertai pasukan lain dalam kariernya kecuali T-Team pada 2014 apabila pernah ke sana bagi tempoh enam bulan sebelum pulang semula di pertengahan musim.

Walaupun sering kali mendapat tawaran pada setiap musim, Alto mengakui dia tidak mahu lagi ke mana-mana dan mahu menghabiskan kariernya di Sabah.

“Pengalaman saya bermain di luar Sabah hanya sekali iaitu bersama T-Team namun saya ambil keputusan pulang ke Sabah selepas sukar mendapatkan minit permainan.

“Pengurusan Sabah termasuk ketua jurulatih, Milomir Seslija juga mahu saya pulang dan nyata keputusan itu tepat kerana telah meletakkan karier saya kekal dalam landasan sehinga hari ini.

“Kalau boleh memang tidak mahu lagi pergi ke pasukan lain biarpun kerap dapat tawaran dari pasukan kerana jiwa serta hati saya sudah sebati di Sabah.

“Saya akan terus kekal di sini untuk terus menabur bakti bersama Sabah, tempat negeri saya dilahirkan dan dibesarkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast