Nayra Ufaira Mohd Hairul Hafis memerlukan bantuan bagi membiayai kos pembedahan jantung.

BUKIT MERTAJAM – Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan memerlukan sumbangan kewangan RM80,000 bagi menampung kos pembedahan serta rawatan komplikasi jantung berlubang dihadapinya di Hospital Pulau Pinang, di sini.

Bayi malang itu, Nayra Ufaira Mohd Hairul Hafis, dikesan menghidap masalah komplikasi jantung ketika usianya enam bulan, ketika dibawa melakukan pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik di sini.

Pengerusi pertubuhan kebajikan One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity), Datuk Chua Sui Hau berkata, ibu bapa kepada bayi berkenaan bertemu dengan pihaknya bagi mendapatkan bantuan kos pembedahan anak sulung mereka selepas pihak hospital memaklumkan pembedahan segera perlu dilakukan.

Jelas beliau, pasangan berkenaan mengharapkan sumbangan orang ramai dalam usaha menyelamatkan nyawa anak mereka susulan pendapatan masing-masing sebagai operator di sebuah kilang tidak mampu menampung kos pembedahan tersebut.

Mohd Hairul Hafis Hashim dan isterinya, Najwa Fazira Mohd Fazli tidak mampu menampung kos pembedahan anak sulung mereka.

“Nayra Ufaira dikesan mempunyai dua lubang pada jantungnya, namun pembedahan tidak dapat dijalankan memandangkan saiz badannya yang terlalu kecil.

“Susulan itu, doktor pakar memutuskan pembedahan perlu dijalankan serta merta sebaik berat badan bayi tersebut mencapai lima kilogram (kg).

“Pasangan ini telah memohon bantuan daripada kami untuk mengumpul dana dan menguruskan rawatan dengan pihak hospital,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad (3193433435) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui applikasi One Hope Charity.

Untuk pertanyaan lanjut boleh menghubungi One Hope Charity & Welfare di talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212. – MalaysiaGazette