KUALA LUMPUR – Jangan kecam secara melampau usaha mana-mana menteri dan orang politik yang memberikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir.
Ini kerana apa pun caranya, mereka berniat baik mahu membantu dan tidak wajar serangan memburukkan peribadi mereka dilakukan.
Setiausaha Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Dr. Zulkifli Abdul Aziz berkata, selain tidak bermoral, kecaman itu juga dibimbangi memberi impak buruk kepada negara di mata dunia.
“Walaupun ada yang mengecam kerana tujuan politik dan hiburan namun kita kena ada kawalan kerana kita kena jaga ‘rumah’ kita dan bukan budaya kita juga menegur secara keterlaluan” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kecaman netizen melalui media sosial terhadap beberapa ahli politik dan menteri ketika membantu mangsa banjir baru-baru ini.
Menurut Zulkifli, masa musibah bukan waktu untuk berpolitik namun ia perlu digunakan untuk berganding bahu membantu tanpa sebarang niat bagi mendapatkan pujian.
Sebelum itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun menjadi salah seorang mangsa kecaman netizen dan sesetengahnya dianggap melampau.- MalaysiaGazette