Keadaan jalan yang teruk antara yang dikesan di sepanjang perjalanan akibat berlakunya banjir kilat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 04 JANUARI 2022.

HULU LANGAT – Banjir bukan sahaja membawa kemusnahan harta benda namun ia turut merosakkan kemudahan infrastruktur di sekitar Hulu Langat.

Tinjauan MalaysiaGazette di sekitar jalan masuk ke sini mendapati jalan-jalan di situ rosak teruk, malah ada yang tidak boleh dilalui ekoran banjir besar yang melanda kawasan tersebut.

Jalan berlopak, berlumpur antara yang dikesan di sepanjang perjalanan krew MalaysiaGazette ke sini.

Mikail Zambri bercakap ketika ditemubual mengenai keadaan jalan berlopak, berlumpur antara yang dikesan di sepanjang perjalanan akibat berlakunya banjir kilat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 04 JANUARI 2022.

Bagi Mikail Zambri, 19, keadaan jalan utama di Hulu Langat semakin teruk dan berdebu.

Jelasnya, keadaan itu amat berbahaya kepada pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal.

“Lepas banjir memang jalan banyak rosak dan berlubang tak cerita lagi pasir dengan debu. Memang teruk jalan Kuala Langat sekarang. Lebih teruk kawasan kuari banyak lopak-lopak jalan, kalau bawa laju motosikal mesti jatuh.

“Dekat sini tak boleh bawa laju, kena lebih berhati-hati dan tengok sekeliling.

“Kalau boleh saya syorkan agar tutup lubang sebab sudah besar, memang bahaya sebab kereta nak elak lubang jadi bahayakan motosikal. Ini sudah berapa kali kemalangan waktu macam ini sebabnya pasir banyak,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Penduduk, Mustafa Alwin bercakap ketika ditemubual mengenai keadaan jalan berlopak, berlumpur antara yang dikesan di sepanjang perjalanan akibat berlakunya banjir kilat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 04 JANUARI 2022.

Lebih daripada itu, Mustafa Alwin, 72, anak jati Sungai Serai berkata, situasi itu amat berbeza dengan sebelum banjir melanda kawasan berkenaan pada 18 Disember lalu.

Mana tidaknya, keadaan jalan di sekitar Sungai Serai dan Hulu Langat sebelum ini amat memuaskan dan tidak berbahaya seperti sekarang.

“Sebelum banjir ini berlubang juga, tapi tidak seteruk ini. Yang teruk adalah sempadan Sungai Serai dengan Hulu Langat memang teruk jalan.

“Kalau motosikal langgar lubang memang akan jatuh,” katanya.

Peniaga, Mohd Zahir Mat Nayan bercakap ketika ditemubual mengenai keadaan jalan berlopak, berlumpur antara yang dikesan di sepanjang perjalanan akibat berlakunya banjir kilat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 04 JANUARI 2022.

Menurut Mohd Zahir Mat Nayan, 37 kemalangan sering berlaku di kawasan ini dek kerana lopak jalan yang cuba dielakkan penunggang motosikal menyebabkan mereka jatuh di atas jalan.

Beliau berharap agar kerajaan terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR) segera mengambil langkah untuk memperbaiki jalan utama di sini agar tiada lagi kemalangan berlaku ekoran jalan yang berlopak.

“Jalan sepanjang Hulu Langat ini berlopak dan pecah dengan lumpur lagi.

“Jalan sangat-sangat teruk terutama di Taman Sri Nanding dan Sungai Serai.

“Harap kerajaan boleh cepat turun padang untuk melebarkan jalan dan tutup lubang sebab kawasan ini terlalu padat dan jalan yang sangat teruk,” keluh peniaga ini.

Keadaan jalan berlopak, berlumpur antara yang dikesan di sepanjang perjalanan akibat berlakunya banjir kilat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 04 JANUARI 2022.

Nada sama dizahirkan Kamal Abdul Mutalib, 50, yang sudah tidak mampu lagi melihat kemalangan berlaku di depan matanya.

“Lalu lintas tak seteruk dahulu, dekat sini memang kena hati-hati sebab lopak banyak sampaikan ada yang kemalangan,” katanya.

Justeru itu, beliau menagih khidmat kerajaan mahupun Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus agar cakna dengan nasib rakyat di kawasan tersebut.

“Saranan saya kepada kerajaan agar sentiasa melihat dan prihatin kepada rakyat yang memilih kerajaan yang memerintah hari ini. Jadi mereka kena prihatin kepada rakyat di mana kalangan rakyat kita ini susah.

“Bila kerajaan bagi insentif itu bersyukur dan bagus cuma kena lebih dekat lagi dengan rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette