KUALA LUMPUR – Gangguan perkhidmatan unifi TV yang melibatkan hampir 300,000 penonton unifi TV akibat kebakaran sistem jana kuasa akan kembali pulih pada jam 3 petang ini.

Telekom Malaysia (TM) berkata, pihaknya sedang giat berusaha bersama dengan pasukan kontraktor dan jurutera bagi memastikan perkhidmatan-perkhidmatan tersebut dibaik pulih semula dan sambungan tenaga kuasa dijangka siap sepenuhnya pada jam 12 tengah hari hari ini.

”unifi TV dijangka kembali pulih semula perkhidmatannya pada jam 3 petang hari ini. Walau bagaimanapun, TMpoint Cyberjaya akan ditutup buat sementara waktu disebabkan bekalan kuasa yang rendah,” katanya.

Kebakaran itu berlaku kira-kira jam 9.50 malam tadi menyebabkan perkhidmatan unifi TV mengalami gangguan perkhidmatan di seluruh negara disebabkan kebakaran sistem jana kuasa yang memberi kesan kepada perkasasan “Bekalan Kuasa Tidak Terganggu” (UPS) yang berada di Kompleks TM IT, di Cyberjaya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berjaya mengawal kebakaran dan memastikan keselamatan premis.

TM berkata, setakat ini, punca kebakaran masih lagi belum diketahui.

Lain-lain perkhidmatan TM dan unifi tidak terjejas. – MalaysiaGazette