Varian Omicron menyumbang sebahagian besar kes Covid-19 di Amerika Syarikat. foto Getty Images

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) merekodkan lebih satu juta kes Covid -19 baharu dan kemuncak penularan Omicron dijangka merebak pantas tidak lama lagi

AS merekodkan 1,080,211 kes pada hari Isnin – jumlah kes baharu sehari tertinggi di mana-mana di dunia, menurut Universiti Johns Hopkins.

Varian Omicron menyumbang sebahagian besar kes di AS.

Presiden Joe Biden, yang berdepan kritikan terhadap respons lonjakan kes Covid-19 mahu sekolah terus dibuka.

Walaupun kadar kematian dan kemasukan ke hospital di AS jauh lebih rendah dalam beberapa minggu kebelakangan ini berbanding lonjakan jangkitan sebelumnya, bilangan kemasukan ke hospital terus meningkat.

Negara ini kini menghadapi “hampir peningkatan menegak” dalam kes, kata Penasihat Pandemik AS, Anthony Fauci, sambil menambah kemuncak jangkitan mungkin berlaku beberapa minggu lagi.

Pada hari Selasa lalu, Biden mengakui terdapat “kebimbangan dan beberapa kekeliruan yang agak besar tentang peningkatan kes”, tetapi mengulangi bahawa majoriti kemasukan ke hospital dan kematian akibat Covid-19 berlaku dalam kalangan individu yang tidak divaksinasi sedangkan AS mempunyai vaksin yang mencukupi.

“Kami tahu kanak-kanak boleh selamat semasa mereka di sekolah. Itulah sebabnya saya percaya sekolah harus terus dibuka,” katanya.

Omicron telah menyebabkan sekolah di daerah seluruh negara menangguhkan pembelajaran pelajar ke bilik darjah berikutan cuti Krismas disebabkan penyebaran pesat varian dan kekurangan kakitangan, selain kebimbangan mengenai cabaran dalam mendapatkan ujian pantas untuk pelajar dan guru.

Di Detroit, Michigan, misalnya – yang mengalami kadar jangkitan tinggi sepanjang masa sebanyak 36% – menyebabkan sekolah akan ditutup sehingga Khamis.

Sebilangan sistem sekolah utama lain, termasuk Atlanta, Milwaukee, Cleveland dan Newark, telah mengumumkan penangguhan sekolah secara bersemuka dan kembali ke kelas secara maya.

Di New York City, daerah sekolah terbesar di AS, sekolah tetap dibuka. Pada hari Isnin, Datuk Bandar, Eric Adams berkata, sekolah adalah “tempat paling selamat untuk anak-anak kita”.

The New York Times melaporkan, kira-kira satu per tiga daripada ibu bapa enggan membenarkan anak-anak ke sekolah kerana bimbang dijangkiti Covid-19. – BBC

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast