Beginilah keadaan Mohd Daud Abu Hasan, 57, yang patah tulang tangan serta mengalami beberapa kecederaan lain akibat kemalangan di Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur semalam. Beliau ditemui di kediamannya di Taman Desa Melor, Serendah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 JANUARI 2022.

SERENDAH – Sejak Ogos lalu penjawat awam ini menjadikan Jalan Kinabalu sebagai laluan harian untuk ke tempat kerja yang terletak di Cheras.

Namun semalam perjalanannya tidak berjalan lancar. Motorsikal yang ditungganginya terhumban gara-gara lubang besar di jalan tersebut yang berpunca daripada mendapan tanah.

Akibatnya, Mohd Daud Abu Hasan mengalami patah tulang tangan serta menanggung kecederaan di bahagian muka, tangan dan lutut.

Berkongsi detik-detik cemas yang dialaminya kira-kira 7.50 pagi semalam, penjawat awam berusia 57 tahun itu berkata, sebelum terhumban beliau nampak kereta di hadapannya mengelak sesuatu.

“Saya tidak nampak lubang itu, cuma saya nampak kereta di depan saya mengelak, saya sangka kereta itu mengelak untuk bagi saya laluan, rupanya nak elak lubang jalan,” katanya ketika ditemui MalaysiGazette di kediamannya di sini hari ini.

Menurut Mohd Daud, tiada sebarang tanda menunjukkan jalan tersebut mengalami mendapan tanah menyebabkan beliau tidak sempat mengelak dan terus terpelanting dari motorsikal yang ditungganginya.

Jalan Berlubang
Mohd Daud Abu Hasan, 57. menunjukkan kecederaan akibat kemalangan motosikal di Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur ketika ditemui di kediamannya di Taman Desa Melor, Serendah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 JANUARI 2022.

Katanya, kejadian itu menyebabkan beberapa penunggang motosikal lain berhenti menghulurkan pertolongan serta memberikan isyarat kepada kenderaan-kenderaan lain yang datang dari arah belakang supaya memperlahankan pergerakan.

“Selepas tergolek saya sedar tapi masa kejadian saya blank sekejap. Tahu-tahu ada kereta hanya pada jarak satu meter dari saya. Nasib baik kereta di belakang saya sempat membrek.

“Secara jujurnya mungkin nasib saya baik, atas kerjasama penunggang motosikal yang lain ada pada hari itu untuk memberhentikan kereta.

“Kalau tidak ada penunggang motosikal yang membantu saya pada hari itu, saya percaya mesti saya dah terbaring di bawah kereta sebab saya tidak sempat mengelak. Saya rasa masa tu trauma sekejap,” katanya.

Mohd Daud Abu Hasan menujukkan gambar jalan berlubang di Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur ketika ditemui di kediamannya di Taman Desa Melor, Serendah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 JANUARI 2022.

Meskipun tangan kirinya mula terasa sakit namun Mohd Daud nekad bangun dan menunggang sendiri motosikalnya ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi mendapatkan rawatan.

Tidak mahu kejadian yang sama menimpa pengguna jalan raya yang lain, Mohd Daud berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan peranan dengan lebih proaktif pada masa akan datang.

Kata beliau lagi, DBKL sepatutnya arif tentang jalan-jalan yang perlukan dibaiki dalam masa yang sama memberikan amaran lebih awal kepada pengguna jalan raya supaya berhati-hati.

“Letak kon, beri amaran awal supaya penggun tahu jalan itu perlu dielak atau perlu perlahankan kenderaan, tidak boleh dibiarkan begitu saja. Kena ada pasukan pantau jalan-jalan di KL, tengok kamera litar tertutup (CCTV), takkan mereka tidak tengok, pergerakan lalu lintas, jalan raya.

Tangn Mohd Daud Abu Hasan cedera akibat kemalangandi Jalan Kinabalu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 05 JANUARI 2022.

“Tidak boleh ambil sikap tunggu dululah, sebab rakyat akan jadi mangsa, terutama kita yang tunggang motosikal risiko cukup tinggi,” tegas Mohd Daud.

Bukan hanya jalan-jalan yang berlubang malah menurut beliau lagi, DBKL perlu memastikan saliran air di kawasan ibu kota berfungsi untuk mengelakkan berlakunya banjir teruk.

Mengenai keadaan motosikalnya yang rosak akibat kemalangan itu, Mohd Daud menganggarkan kos membaiki kira-kira RMRM5,000.

Mengakui menerima banyak saranan supaya beliau menyaman DBKL akibat kecuaian menjalankan tanggungjawab, Mohd Daud berkata, keadaan kecederaan tangannya akan menjadi penentu kelak.

Katanya, apa yang paling penting adalah DBKL tidak boleh lagi duduk dan lihat masalah jalan raya berlubang kerana telah terlalu kerap berlaku kemalangan yang berpunca daripada keadaan tersebut.

Mohd Daud Abu Hasan, 57 menujukkan gambar motosikalnya yang rosak akibat kemalangan ketika ditemui di kediamannya di Taman Desa Melor, Serendah, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 05 JANUARI 2022.

“DBKL sebenarnya ada pasukan yang mengawasi bencana semasa, sepatutnya pasukan ini kalau cuaca hujan kena digerakkan, kena keluar dari pejabat jangan hanya duduk di pejabat.

“Kalau hanya duduk di pejabat sahaja tidak keluar hanya harap orang buat aduan memang lambatlah tindakan,” katanya sambil mendedahkan terdapat beberapa lagi kemalangan melibatkan penunggang motosikal yang berlaku di jalan yang sama semalam.

Sebagai rekod, sejurus selepas berlakunya kemalangan semalam, Jalan Kinabalu yang menuju ke arah Cheras ditutup selama tiga hari untuk kerja-kerja membaik pulih. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast