Mohd Shuhaily menyampaikan sijil penghargaan kepada anggotanya pada Pehimpunan bulanan dan lafaz ikrar bagi bulan Januari 2022 Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Pasukan Simpanan Polis Persekutuan, Ayer Itam hari ini.

GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencatatkan penurunan kadar jenayah sebanyak 27.3 peratus secara keseluruhan sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis negeri Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, nilai ambang yang ditaksirkan berdasarkan kepadatan penduduk Pulau Pinang sebanyak 5,269 kes namun hanya 3,831 kes dilaporkan sepanjang tahun 2021.

Jelas beliau, jenayah harta benda menunjukkan penurunan sebanyak 31 peratus apabila 2,900 kes saja dilaporkan berbanding nilai ambang 4,203 kes dan diikuti dengan jenayah kekerasan iaitu sebanyak 931 kes dilaporkan sejak Januari hingga Disember tahun lalu.

“Kita tidak menolak kemungkinan jenayah harta benda menunjukkan penurunan susulan perintah kawalan pergerakan

“Bagi jumlah kes jenayah kekerasan pula, banyak pergaduhan membabitkan rumahtangga, rakan serta adik beradik,” kata beliau.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Pehimpunan bulanan dan lafaz ikrar bagi bulan Januari 2022 Kontinjen Pulau Pinang di Padang Kawad Pasukan Simpanan Polis Persekutuan, Ayer Itam di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Shuhaily berkata, kes jenayah komersial turut meningkat mendadak sepanjang tahun lalu membabitkan kerugian berjumlah RM537 juta.

Katanya, kes berkenaan meningkat sebanyak 225.4 peratus daripada tahun sebelumnya iaitu membabitkan kerugian sebanyak RM165 juta.

Manakala kes yang disiasat pada tahun 2021 iaitu sebanyak 3,209 kes berbanding hanya 2,453 kes pada tahun 2020.

“Mangsa penipuan ini datang daripada pelbagai lapisan masyarakat tidak kira bandar mahupun luar bandar, usia, jantina serta pelbagai pekerjaan.

“Ketika pandemik Covid-19 masyarakat lebih berinteraksi dalam dunia maya dan ia menjadi cabaran baru kepada pihak polis dalam menzahirkan kepakaran pegawai dan anggota bagi menyiasat kes penipuan siber.

“Kita memahami cabaran dan usaha yang sedang dilakukan bagi menangani ancaman baru ini dan kefahaman serta kesedaran orang ramai amat diperlukan,” ujar Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette