Tangkap layar video tular memaparkan kenderaan JPJ mengiringi lori-lori balak dekat Gua Musang, Kelantan.

KUALA LUMPUR – Video yang memaparkan kenderaan Jabatan sedang mengiringi beberapa buah lori balak di kawasan Gua Musang, Kelantan adalah sebahagian daripada “Ops Khas Lori Balak”, yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan pada 3 Januari, lalu.

Menerusi Ops Khas tersebut, JPJ telah berjaya menahan sebanyak 30 buah lori balak di hadapan lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang dan telah melakukan pemeriksaan sebelum kesemua lori balak yang terlibat diarahkan untuk ditimbang di Stesen Penguatkuasa (SPK) Mentara.

Lori-lori balak ini telah diiringi oleh kenderaan rasmi JPJ bagi memastikan pemandu lori terlibat tidak meloloskan diri daripada kawalan JPJ seterusnya ke lokasi yang diarahkan untuk menimbang berat muatan.

Tindakan JPJ mengiringi lori-lori balak tersebut juga merupakan salah satu prosedur operasi standard JPJ dalam memastikan aspek keselamatan pengguna-pengguna jalan raya lain daripada risiko sebarang kemalangan, menurut JPJ dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, tindakan terbabit juga merupakan satu daripada prosedur operasi standard (SOP) JPJ bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

”Oleh itu, JPJ memandang serius persepsi negatif terhadap JPJ yang didakwa seolah-olah memberi ‘perlindungan’ kepada kesemua lori balak terbabit.

“Malah, perkongsian video itu dilihat telah mencalarkan imej JPJ tanpa si pemilik akaun media sosial tersebut mengetahui gerak kerja sebenar JPJ dalam menanganl isu lori-lori balak yang disyaki membawa lebih muatan (over-loading), ini.

“JPJ tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan dengan membuat laporan polis jika didapati tuduhan itu menggugat kredibiliti dan imej JPJ dalam melaksanakan tugas rutin,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi tersebut, JPJ telah mengeluarkan 56 notis kesalahan, iaitu 23 notis di bawah Seksyen 82(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, 2 notis di bawah Seksyen 224 APAD 2010, 31 notis bagi lain-lain kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast