Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN –  Seorang lelaki di Bentong kerugian RM 15,250 setelah diperdaya dalam pelaburan tidak wujud menerusi Facebook.

Ketua Bahagian Jabatan Sisasatan Jenayah Komersial Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian itu didakwa bermula November tahun lalu apabila mangsa berusia 42 tahun melihat satu iklan.

Dia yang berminat dengan pelaburan ditawarkan itu telah menghubungi nombor telefon yang tertera pada 25 Disember 2021.

”Pengadu telah melayari Facebook dan terlihat satu iklan pelaburan Fxjin United dan kemudian berhubung melalui Whatsapp dengan perhubungan pelanggan bagi berbincang telah bersetuju dengan syarat pelaburan tersebut.

”Pengadu perlu memasukkan RM300 sebagai deposit pelaburan dan dijanjikan kadar keuntungan sebanyak 30%.

“Mangsa turut memberikan maklumat diri dan nombor akaun pengadu kepada pihak mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Mangsa mula memasukkan wang  pada 11 Disember sehingga 1 Januari lalu ke dalam pelbagai akaun diberi suspek bagi tujuan keuntungan berganda.

Katanya, mangsa telah melakukan sebanyak lapan transaksi secara dalam talian  berjumlah RM15,250 ke dalam lapan akaun berbeza diberikan suspek.

“Selepas itu, pihak terbabit meminta pengadu membayar lagi RM8,980 kerana wang proses masih tidak cukup, namun mangsa memberitahu telah kehabisan wang.

“Namun, pihak pelaburan palsu itu memberitahu jika pengadu tidak membuat bayaran, wang pengadu tidak akan dikembalikan,” katanya.

Pengadu berasa curiga dan merasa ditipu membuat laporan polis semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette