Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof

KUANTAN – Tipu untuk mendapatkan bantuan banjir!

Itu dua kes penipuan yang direkodkan di Temerloh oleh polis sepanjang musim bah baru-baru ini.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kes pertama direkodkan pada 27 Disember manakala kes kedua pada 3 Januari lalu.

Kedua-duanya disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

“Kes pertama melibatkan penggunaan butiran peribadi dan alamat rumah mangsa banjir telah digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi meminta sumbangan bantuan banjir yang telah dimuat naik melalui laman Facebook.

“Ia memaparkan bersama akaun bank pihak ketiga yang tidak diketahui oleh pengadu walhal sebenarnya mangsa memaklumkan bahawa rumah mangsa tidak terlibat dengan bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kes kedua, pengadu merupakan sukarelawan kebajikan dan dimaklumkan oleh isterinya yang bertugas di pusat pemindahan sementara (PPS) berdaftar menyatakan seorang suspek membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan.

“Suspek menggunakan  alasan rumah telah terjejas banjir dan mengalami kerosakan teruk, justeru pengadu dan sukarelawan telah menyalurkan bantuan berupa barang elektrik, bantal dan toto kepada suspek.

“Namun demikian pengadu telah membuat semakan dan mendapati bahawa rumah suspek tidak terlibat dengan banjir,” katanya.

Kedua-kedua kes masih dalam peringkat siasatan dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Mohd Wazir menasihati agar pemimpin setempat membuat semakan terlebih dahulu terhadap pemohonyang meminta sumbangan dengan mengesahkan tempat tinggal  sama terjejas atau sebaliknya bagi memastikan pemohon benar-benar layak menerima sumbangan.

“Masyarakat jangan mudah percaya bila berhadapan dengan individu yang meminta bantuan dan dinasihatkan supaya menyalurkan maklumat berkenaan kepada pihak yang dipertanggungjawabkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.

“Mana-mana pihak yang didapati membuat apa-apa permohonan bantuan sedangkan beliau tidak layak dan menipu melakukan kesalahan dan boleh disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette