Bantuan Wang Ihsan yang disalurkan untuk mangsa-mangsa banjir di Dewan Kampung Padang, Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2022.

HULU LANGAT – “Orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi kita merasa.’

Begitulah penghargaan penduduk di Hulu Langat yang menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) akibat banjir besar yang melanda kawasan itu baru-baru ini.

Rata-rata penerima tidak lekang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas bantuan yang diberikan hari ini.

Oun You Ek menunjukkan Bantuan Wang Ihsan yang diterimanya di Dewan Kampung Padang, Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2022.
Tan Ping Tong (kiri) bersama Lee Chee Min menunjukkan Bantuan Wang Ihsan yang diterimanya di Dewan Kampung Padang, Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2022.

Menurut peniaga Tan Ping Tong, 71, wang yang diterimanya hari ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban kewangan keluarganya selepas mengharungi fenomena banjir besar.

“Terima kasih bantu kami orang miskin, kita boleh beri barang keperluan sedikit dengan duit bantuan ini.

“Walaupun tidak banyak tapi boleh ringankan beban saya sebab kami tidak tahu nak buat apa lagi selepas bencana,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ping Tong antara 499 penerima BWI yang menerima bantuan itu di Dewan Orang Ramai Kampung Padang, Hulu Langat.

Penduduk, Mohd Israq Tumirin menunjukkan Bantuan Wang Ihsan yang diterimanya di Dewan Kampung Padang, Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2022.

Penduduk Kampung Jawa, Mohd Israq Tumirin, 65, pula amat bersyukur kerana bantuan yang diterimanya dapat menampung perbelanjaan membeli kelengkapan rumahnya habis rosak.

“Walaupun bantuan ini tidak boleh tampung kerugian, tapi kita terima sahaja bantuan ini sebab ini melibatkan semua orang bukan saya seorang.

“Ada lah sikit bantuan, terima kasih,” katanya.

Penduduk, Fatin Farhain Jalaluddin menunjukkan Bantuan Wang Ihsan yang diterimanya di Dewan Kampung Padang, Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2022.

Mangsa banjir di Kampung Sungai Lui, Fatin Farhain Jalaluddin memberitahu, wang bantuan ini akan dibelanjakan untuk keperluan dapur dan kerja-kerja pembersihan serta membaik pulih rumahnya yang tenggelami air pada 18 Disember lalu.

“Terima kasih kepada kerajaan, kami bersyukur sangat-sangat sebab dapat juga bantuan. Dapat juga meringankan kos kerugian rumah dan belanja barang dan baiki kenderaan,” ujar Fatin Farhain.

Beliau mengakui terkejut kerana proses permohonan BWI  begitu cepat.

Dia mendapat tahu kelulusan itu sebaik sahaja kembali ke rumah dari PPS kampung tersebut selepas banjir surut.

Penduduk yang terjejas banjir menerima bantuan pada Majlis Serahan Bantuan Wang Ihsan di Dewan Kampung Padang, Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2022.

Mangsa banjir Lee Chee Ming berkata, keprihatinan kerajaan cukup bermakna bagi beliau dalam memulihkan semula kehidupan selepas banjir.

Dengan bantuan ini beliau menarik nafas lega untuk menyediakan belanja keperluan terutamanya barangan dapur.

“Bantuan ini kira boleh kurangkan kerugian yang kami alami sebab rumah rosak teruk.

“Walaupun sikit tapi boleh bantu ringankan beban dan beli barang-barang lain dengan duit itu,” katanya.

Penduduk, Zaiton Johari menunjukkan Bantuan Wang Ihsan yang diterimanya di Dewan Kampung Padang, Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2022.

Seorang lagi penerima BWI, Zaiton Johari, 56, berkata BWI ini cukup mudah dipohon malah agihannya juga pantas.

Katanya, bantuan ini akan digunakan untuk membeli peralatan elektrik yang musnah ditenggalami banjir.

“Alhamdulillah syukur terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang bagi bantuan RM1,000 ini.

“Walaupun tidak memadai dengan kerugian yang kami alami tapi saya amat bersyukur ,” kata guru yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menaikkan kadar BWI daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Bayaran bantuan berkenaan disalurkan sejak 27 Disember lalu iaitu 10 hari selepas kejadian banjir agak luar biasa yang melanda beberapa negeri termasuk Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette