Tiga sungai di Pahang masih merekodkan bacaan air melepasi paras bahaya.- Gambar hiasan.

KUANTAN – Tiga sungai di Pahang masih merekodkan bacaan air melepasi paras bahaya.

Dua daripada sungai berkenaan di Bera dan satu di Chini menurut bacaan petang ini manakala tiga lagi menunjukkan paras amaran di Bera, Maran dan Bentong.

Tiga sungai yang melebih paras bahaya ialah Sungai Bera, Sungai Chini dan Sungai Serting manakala sungai di paras amaran ialah Sungai Kuandang dan Sungai Triang.

Selebihnya enam sungai menunjukkan paras waspada pada pukul 4 petang tadi, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Jurutera JPS Kuantan, Mohamad Azam Mohd Nor ketika dihubungi mengesahkan paras air Sungai Belat di Sri Damai telah keluar dari kategori amaran pada pagi tadi iaitu paras 4.0m dan kini paras berada paras waspada.

“Secara amnya, paras air Sungai Pahang di bahagian hulu di Jerantut dan Lipis telah kembali surut ke paras normal,” katanya.

Paras air Sungai Pahang di  Temerloh Lubok yang kini dalam paras waspada juga menunjukkan penurunan yang progresif.

Pada pemerhatian pihaknya, aras air Sungai Pahang di sebelah Maran (Lubok Pasu) dan Pekan (Kuala Chini) masih tinggi pada paras bahaya.

Justeru semua penduduk sekitar kawasan rendah berhampiran sungai utama adalah dinasihatkan untuk lebih berhati-hati.

Sementara itu, dua daerah Pusat Pemindahan Banjir (PPS) di sekitar Jerantut dan Raub ditutup sepenuhnya hari ini.

Jumlah terkini mangsa banjir di Pahang berjumlah 1,811 orang di 33 PPS di Bera, Rompin, Pekan, Maran dan Kuantan. – MalaysiaGazette